Program Perjumpaan Pelajar Baharu Bersama Pihak Pengurusan FSK 2022

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, 11 Oktober 2022: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam Sesi 2021/2022 telah melaksanakan program Perjumpaan Pelajar Baharu Bersama Dekan Dan Pihak Pengurusan FSK 2022 secara bersemuka buat sekian kalinya setelah hampir dua tahun semua program dijalankan secara atas talian. Program ini diadakan di Dewan Kuliah 1 dan 2 Bangunan FSK 7 bermula pada pukul 8.45 pagi sehingga 5.00 petang dan telah disertai oleh Dekan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, 8 orang Ketua Pusat Pengajian serta 512 orang mahasiswa baharu pengambilan sesi Oktober 2022/2023.

Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan Dekan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri kepada mahasiswa baharu. Selain itu, program ini juga dijalankan untuk memberi pendedahan tentang sistem kewangan, zakat dan fasiliti kepada para mahasiswa baharu di samping memastikan mereka bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi kehidupan sebagai seorang mahasiswa di UiTM Puncak Alam.

Program dimulakan dengan penyampaian amanat daripada Prof. Dr. Zulkhairi Bin Haji Amom, Dekan Fakulti Sains Kesihatan yang seterusnya merasmikan program Pejumpaan Pelajar Baharu Bersama Dekan Dan Pihak Pengurusan FSK 2022. Para mahasiswa seterusnya diperkenalkan dengan semua Ketua Pusat Pengajian (KPP) bagi 8 kursus pengajian iaitu Kejururawatan, Fisioterapi, Pengimejan Perubatan, Teknologi Makmal Perubatan, Dietetik, Pemulihan Cara Kerja, Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, dan Optometri. Selepas itu, mahasiswa baharu mendengar taklimat berkaitan hal-hal akademik yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Siti Nazrina Binti Camalxaman secara atas talian melalui platform Google Meet.

Program dilanjutkan lagi dengan slot bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, En. Romizan Bin Jathin yang memberi taklimat ringkas berkaitan pengurusan para pelajar di UiTM Puncak Alam. Slot seterusnya iaitu slot Taklimat Kewangan dan Zakat yang disampaikan oleh En. Muhammad Najih Irsyad Bin Ahmad Puhad, beliau memberikan pendedahan berkaitan sistem zakat dan prosedur untuk membuat permohonan zakat serta hal-hal kewangan lain yang wajar diketahui oleh mahasiswa baharu. Program pada sesi pagi dilengkapi dengan ceramah “Mental Health Among Students” yang disampaikan oleh seorang Perunding Psikologi Klinikal yang hebat iaitu Dr. Kartini Binti Ilias. Banyak informasi bermanfaat yang diperoleh sepanjang sesi taklimat dan perkongsian.

Pada slot petang pula, program diteruskan dengan slot taklimat “Penggunaan Student Portal” yang disampaikan oleh Exco Akademik SMF 2021//2022 dan mahasiswa diberi peluang untuk bertanya mengenai permasalahan akademik yang dihadapi oleh mereka. Seterusnya, program dilanjutkan dengan slot “Penyerahan Fail Hijau” mengikut kursus pengajian bagi pelajar lepasan matrik dan asasi. Para pelajar diminta untuk menyerahkan semua dokumen yang telah diminta kepada pihak Hal Ehwal Akademik (HEA) untuk tujuan penyimpanan rekod pelajar. Akhir sekali, program diakhiri dengan slot santai MPP dan SMF FSK bersama semua mahasiswa baharu.

Melalui program ini, pihak pengurusan Fakulti Sains Kesihatan dapat diperkenalkan kepada mahasiswa-mahasiswa baharu terutamanya Dekan, timbalan-timbalan dekan serta ketua-ketua pusat pengajian sekali gus berupaya mempersiap mahasiswa baharu dengan informasi yang dapat membantu mereka menjadi mahasiswa berjaya.

Secara keseluruhan, pihak Fakulti Sains Kesihatan berharap agar program ini sedikit sebanyak dapat membantu semua mahasiswa baharu untuk mempersiap diri mereka dalam membentuk perilaku seorang mahasiswa yang proaktif, dinamik dan cemerlang di masa hadapan.