Baru-baru ini pelajar akhir tahun dari Pusat Pengajian Kejururawatan telah mengadakan Program Pengurusan Ibadah Pesakit. Program ini merupakan projek akhir tahun pelajar Ijazah Kejururawatan dari Pusat Pengajian Kejururaawatan, Fakulti Sains Kesihatan dengan kerja sama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Selangor (UCS). Program ini bertujuan untuk memberi pemahaman asas taharah dan membimbing peserta yang terdiri daripada pelajar kejururawatan dalam usaha melahirkan generasi hadapan khususnya dikalangan pengamal perubatan bagi membimbing pesakit berdasarkan prinsip asas taharah dan ibadah.
Bagi menyahut apresiasi SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, kewajaran utama pemilihan pelajar kejururawatan dalam menyertai kursus ini adalah kerana profesion ini begitu rapat dengan pesakit dan dengan kefahaman dan kemahiran yang diperolehi daripada kursus ini dapat mendidik para pesakit, membimbing dan membantu pesakit meneruskan ibadah seharian. Objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada para peserta memahami prinsip asas taharah, membimbing pesakit berdasarkan prinsip asas taharah dan ibadah pesakit, melahirkan rasa tanggungjawab peserta dalam membimbing pesakit serta membentuk generasi dai’e di kalangan warga mahasiswa bagi kelangsungan dakwah di Malaysia.
Seramai 33 orang peserta telah menyertai program ini. Terdapat 2 sesi dalam program ini iaitu sesi ceramah dan praktikal berkaitan tentang konsep taharah, tayammum, tatacara wuduk serta rukshah solat untuk pesakit yang terlantar. Para pelajar dapat mengalami sendiri dan mempraktiskan tatacara yang telah dipelajari semasa sesi praktikal berlangsung.
Program berjalan dengan lancar dan sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Ustazah Noor Rashidah A. Rahman sebagai penceramah jemputan untuk program ini. Diharapakan program seumpama dapat dijalankan setiap tahun bagi memberi nilai tambah kepada graduan kejururawatan UiTM sebelum menceburkan diri dalam bidang pekerjaan sebenar.