Program Pengumpulan Data Kajian Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) Dan Ziarah Mahabbah Ke Sekolah-Sekolah Di Sekitar Negeri Perlis Dan Kedah

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis telah mengadakan Program Pengumpulan Data Kajian Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dan Ziarah Mahabbah ke beberapa buah sekolah di sekitar negeri Perlis dan Kedah pada sekitar bulan Mei hingga Jun 2022.

Program ini melibatkan sekumpulan penyelidik bagi geran FRGS yang diketuai oleh Dr. Ummi Syarah Ismail dan diiringi oleh Dr. Nadhilah Abdul Pisal serta En Mohd Fathie Mohd Zaki daripada Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Perlis. Program ini melibatkan lima buah sekolah menengah agama yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di sekitar negeri Perlis dan Kedah. Butiran sekolah-sekolah yang terlibat adalah seperti berikut:

1. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Perlis
2. Sekolah Menengah Agama Al- Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, Arau, Perlis
3. Maktab Mahmud Yan, Kedah
4. Sekolah Menengah Agama Nurul Islam, Air Hitam, Kedah
5. Maktab Mahmud Baling, Kedah

Program ini diadakan bagi tujuan pengumpulan data geran FRGS yang bertajuk “Model Maharah Al-Qawaid Al-Arabiyyah Berasaskan Teori Monitor Dalam Pengajaran Tatabahasa Arab”. Selain itu, objektif program ini juga adalah untuk menjalinkan hubungan baik antara pihak universiti dan sekolah dalam usaha memperkasakan pembelajaran dan pengajaran khususnya dalam bidang Bahasa Arab di negara Malaysia.

Ketua penyelidik merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah, guru-guru dan para pelajar yang terlibat dalam menjayakan program kerjasama ini. Pihak sekolah menyatakan hasrat agar program-program kolaborasi antara universiti seperti ini dapat diadakan lebih kerap pada masa hadapan sebagai menyahut usaha kerajaan dalam mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Semoga usaha kolaborasi antara pihak universiti dan sekolah yang terlibat memberi manfaat dan kebaikan yang menyeluruh.