Program Pengantarabangsaan ‘Eksplorasi Seni dan Budaya Nusantara’ Pelajar Pascasarjana Fakulti Pendidikan Padat dengan Pengisian Ilmiah

Program Pengantarabangsaan ‘Eksplorasi Seni dan Budaya Nusantara’ Pelajar Pascasarjana Fakulti Pendidikan Padat dengan Pengisian Ilmiah
Delegasi Fakulti Pendidikan UiTM dalam Eksplorasi Seni dan Budaya Nusantara

15 pelajar Program Sarjana Pendidikan Seni Visual serta 5 staf Fakulti Pendidikan UiTM Cawangan Selangor telah terlibat di dalam program pengantarabangsaan Eksplorasi Seni dan Budaya Nusantara yang berlangsung dari 27-30 November 2019. Berpusat di Bandung, Indonesia, delegasi ini komited dengan pelbagai aktiviti berteraskan akademik yang telah dirancang dan dilaksanakan dengan beberapa agensi pendidikan dan budaya di provinsi tersebut.

Pembuka kembara adalah kuliah tamu dan pembentangan kertas kerja di Institut Teknologi Bandung (ITB). Prof. Dr. Setiawan Sabana, profesor pendidikan seni di ITB telah menyampaikan kuliah tamu ‘Kaedah Penyelidikan Mahasiswa Pascasarjana Indonesia’ dan acara diteruskan lagi dengan pembentangan kertas kerja oleh 6 orang pelajar PhD ITB. Delegasi turut berpeluang menyaksikan ‘Pameran Seniman Bandung 1959-1970’ yang sedang berlangsung di Galeri Soemardja, ITB.

Program Pengantarabangsaan ‘Eksplorasi Seni dan Budaya Nusantara’ Pelajar Pascasarjana Fakulti Pendidikan Padat dengan Pengisian Ilmiah
Program dan aktiviti pengantarabangsaan sepanjang delegasi di Bandung

International Seminar QUO VADIS in Art Education XV anjuran Program Studi Pendidikan Seni, Fakultas Pendidikan Seni dan Desain, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) menyediakan ruang kepada mahasiswa UiTM untuk membentangkan kertas kerja dan poster mereka. Selain itu, dua orang pensyarah pengiring turut berperanan sebagai Pembentang Ucaptama (Dr. Badrul Isa) dan Pembentang Plenari (En. Sumardianshah Silah). Fakulti Pendidikan UiTM merupakan rakan kerjasama penganjuran seminar antarabangsa ini.

Lawatan delegasi ke Sekolah Labotarium Percontohan, UPI disambut meriah dengan persembahan tarian dan angklung oleh para pelajar sekolah tersebut. Sesi dialog dan diskusi tentang Sekolah Labotarium UPI dikendalikan oleh Badan Penyelenggara Sekolah (BPS) yang diketuai oleh Dr. Prayoga Bestari, Kepala BPS. Sekolah Labotarium Percontohan atau Lab Schools ini dikendalikan sepenuhnya oleh UPI, terdiri daripada sekolah rendah dan menengah dan antara 10 sekolah terbaik di Jawa Barat.

Dua pensyarah pengiring, Dr. Khairezan Rahmat dan Puan Zuraimi Zakaria, turut menyampaikan kuliah dalam sesi Kuliah Tamu yang bertemakan Peranan Seni Rupa Pada Era Industri 4.0 di UPI. Dr. Khairezan Rahmat, juga merupakan Koordinator Program Sarjana Pendidikan Seni Visual telah menyampaikan kuliah bertajuk Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Seni Rupa; manakala kuliah Puan Zuraimi Zakaria bertajuk Penilaian di dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21): Implikasi ke Atas Pengajian Tinggi seiring dengan bidang beliau di dalam Pentaksiran untuk Pembelajaran. Sesi kuliah ini telah dihadiri mahasiswa Pendidikan Seni Rupa, Fakultas Pendidikan Seni dan Desain, UPI.

Delegasi turut ditemani Penolong Jurutera Fakulti Pendidikan, En. Mohd. Nazri Mokhtar, yang banyak membantu di dalam aspek teknikal pelaksanaan aktiviti serta dokumentasi visual yang mantap.

1
0