Program Pengajaran Kolaboratif (Industri – Universiti) Tentang Pembangunan Tanah di Malaysia

Arau, 11 Disember 2024 – Satu program Pengajaran Kolaboratif (Industri – Universiti) tentang Pembangunan Tanah di Malaysia telah diadakan di Podium, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau pada pagi tadi. Program ini merupakan program anjuran Kolej Pengajian Alam Bina bersama Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) selaku penaja program.

Tetamu yang turut hadir semasa program ini ialah YBrs. Sr Dr Rohayu Haron Narashid, selaku Ketua Pusat Pengajian, Sr Ashnita Rahim (Koordinator Program), barisan pensyarah dan 130 orang pelajar Diploma serta pelajar Ijazah Sarjana Muda, dari Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perlis.

Program yang julung kali diadakan ini disampaikan oleh YBrs. LSr Ahmad Wizan Bin Mohd Thani (Naib Presiden PEJUTA). Selama hampir dua jam program berlangsung, YBrs. LSr Ahmad Wizan telah menerangkan tentang pembangunan tanah di Malaysia serta memperkenalkan aplikasi pecah sempadan, pecah bahagian, cantuman dan serahan dan kurniaan semula serta peranan jurukur dalam pembangunan tanah di Malaysia khususnya.

Program Pengajaran Kolaboratif (Industri – Universiti) anjuran Kolej Pengajian Alam Bina ini diharapkan dapat diteruskan bagi membolehkan para pelajar dan pensyarah mendapat informasi terkini mengenai pembangunan tanah di Malaysia.