Tanggal 12 Mac 2021 yang lalu, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang dengan Kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Temerloh telah berjaya menganjurkan program Webinar: Taklimat Pendidikan Percukaian (bagi tahun taksiran 2020).
Program webinar yang diadakan secara langsung menerusi platform Cisco Webex ini disertai kira-kira 216 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Kampus Raub, pelajar serta masyarakat luar. Program yang menekankan komunikasi dua hala ini telah berlangsung selama 2 jam 30 minit dimana sesi soal jawab mendapat sambutan hangat dari para peserta.
Sepanjang program ini berlansung, peserta berpeluang untuk menanyakan pelbagai soalan berkaitan cukai pendapatan individu. Antara aspek yang paling menjadi tumpuan peserta adalah berkenaan dengan pelepasan cukai yang layak dimohon oleh pembayar cukai.
Taklimat ini disampaikan oleh 3 orang kakitangan dari LHDN Cawangan Temerloh yang juga merupakan alumni UiTM Cawangan Pahang. Mereka bertiga adalah bekas pelajar Diploma Perakaunan (AC110) dan juga Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (AC220). Kakitangan LHDN tersebut adalah En. Muhamad Assif Abdullah, Pn. Nur Ermalina Jamaludin dan En. Shahrizal Mohamad Kamil.
Melalui program ini, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang telah memenuhi beberapa Performance Index yang menjadi agenda penting bagi universiti, iaitu PI84 – Number of University Social Responsibility programmes (USR), PI88 – Number of communities receiving/benefiting from the knowledge/technology diffusion projects dan PI89 – Number of alumni expert service programme. Pada masa yang sama, program webinar ini menepati Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG 4) iaitu Pendidikan Berkualiti. Hasil dari program ini, peserta mendapat manfaat dengan memperoleh pengetahuan yang lebih tepat mengenai bidang percukaian khususnya cukai pendapatan individu.