10 Julai 2024 (Rabu) yang lalu, telah berlangsung Program Penanda Aras Program Kolej Vokasional Kemaman ke UiTM Cawangan Pahang. Program bermula pada jam 9:15 pagi ini adalah anjuran Jawatankuasa Jaringan dan Hubungan Luar, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang.
Tujuan utama program ini adalah bagi memenuhi piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Agency) dan juga mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara UiTM Cawangan Pahang dan Kolej Vokasional(KV) Kemaman, Terengganu. Program ini melibatkan seramai 18 orang pelajar dan diiringi oleh 20 orang pensyarah dari Kolej Vokasional Kemaman.
Bertempat di Dewan Al-Biruni 1, program ini dirasmikan oleh Puan Noorfarhana Mohd Azmi selaku Koordinator Program Pascasiswazah PPPT. Antara pengisian program, para pelajar dan pensyarah KV Kemaman diberikan taklimat mengenai UiTM Pahang secara keseluruhan dan juga maklumat PPPT secara khususnya. Para pelajar juga didedahkan mengenai pentadbiran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UiTM Pahang melalui taklimat yang disampaikan oleh kakitangan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan juga wakil MPP UiTM Pahang. Seterusnya pelajar-pelajar dibawa ke Bilik Gerakan Majlis Perwakilan Pelajar bagi mendapat gambaran lebih dekat berkaitan aktiviti-aktiviti pelajar di UiTM Cawangan Pahang. Program diteruskan dengan lawatan disekitar kawasan UiTM disamping melihat kemudahan di Kolej Tok Gajah. Dalam masa yang sama, pensyarah KV Kemaman diberikan taklimat pengurusan kualiti dari Ketua Unit Kualiti UiTM Cawangan Pahang, Dr. Mohd Safwan Ramli dan taklimat pengurusan fail kursus dan juga portfolio pengajaran oleh Puan Mastura Mohamad. Bertempat di Perpustakaan A-Bukhari, program ini diakhiri dengan taklimat dari pustakawan yang mana mereka telah diberikan pendedahan mengenai sistem yang digunapakai oleh UiTM dan juga penerangan mengenai pengurusan buku, majalah dan dokumen di perpustakaan.
Pelaksanaan program ini selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) seperti berikut: –
- SDG4 pendidikan berkualiti bagi memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.
- SDG17 perkongsian matlamat bagi meningkatkan pengetahuan dan kerjasama akses kepada sains, teknologi dan inovasi.
Di akhir program, pihak KV Kemaman memberikan maklumbalas yang positif dan berpuas hati dengan input yang diperoleh dari penganjuran program ini. Kami amat berharap program seperti ini mampu membantu pusat pengajian luar supaya dapat mempertingkatkan kecemerlangan dan juga menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi. Diharapkan kerjasama seperti ini membantu UiTM Cawangan Pahang meletakkan nama di persada pendidikan yang berteraskan kualiti yang tinggi, memberi manfaat kepada pihak terlibat dan juga meningkatkan kerjasama dengan institusi luar.
Penulis bersama: Mohd Azizul Sulaiman, Dr. Mohd Safwan Ramli, Mastura Mohamad, Rohana Johan, Nurul Zahidah Md Juperi, Norlaili Harun, Azmi Salim, Rozita Mengen, Mas’udah Asmui, Emy Natasha.