Program Pemindahan Pengetahuan di Daerah Temerloh

Bertempat di SMK Seberang Temerloh, kumpulan Inovasi Accounting on the Block (AOTB) Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah dijemput ke Program Pengukuhan Perakaunan Tingkatan 5 anjuran Panitia Perakaunan untuk berkongsi kepakaran dalam satu program ‘Knowledge Transfer Programmes (KTP)’. KTP adalah program pemindahan pengetahuan yang diperoleh daripada projek penyelidikan (Geran Sinergi) untuk memberi manfaat kepada komuniti atau industri.

Kumpulan AOTB ini diketuai oleh Norlaila Md Din dan ahli-ahlinya yang lain, Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, Junaidah Jamaluddin, Faizan Abd Jabar dan Nur Syazwani Mohammad Fadzillah telah menghasilkan 14 produk dimana 4 produk tersebut yang terdiri daripada AOTB Card Game, Accounting Board Game, AOTB Hellirides dan AOTB Eagleeyes telah dimanfaatkan untuk membantu pelajar-pelajar di sekolah ini untuk mendalami mata pelajaran Prinsip Perakaunan.

Kesemua produk pembelajaran berasaskan permainan AOTB menggunakan pengekodan warna bagi membezakan debit dan credit. Ia telah menukar kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional kepada gaya pengajaran yang lebih interaktif bagi menarik perhatian pelajar dan melibatkan mereka dalam proses pembelajaran. Selain daripada itu, AOTB telah dibangunkan berdasarkan keperluan sukatan pelajaran serta Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dan ia merangkumi 5-6 bab dalam mata pelajaran perakaunan pengenalan.

Program ini telah membantu Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti. Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.