KOTA TINGGI, 18 Februari 2023 – UiTM Melaka telah memenuhi jemputan Urusan Ittihad Trading & Resources Sdn Bhd untuk menghadiri Pembangunan Industri Penternakan Arnab & Industri Produk Makanan Berasaskan Daging Arnab (2021-2023) bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi bertempat di Aping Barat Rabbitiries, Felda Aping Barat, Kota Tinggi, Johor.
YBhg. Rektor berkesempatan membentangkan laporan program pemindahan ilmu bersama komuniti yang telah dijalankan oleh UiTM Melaka di Felda Aping Barat sejak tahun 2021 khususnya dalam pembekalan dan pemasaran produk ternakan arnab.
YB Menteri menyambut baik usaha universiti dalam ‘social entrepreneurship’ untuk mempelbagaikan serta mempergiatkan ekonomi masyarakat tempatan. Kerjasama ini diharapkan dapat memberi manfaat yang besar kepada komuniti dalam memajukan ekonomi negara.
Turut hadir Dr. Nur Hayati Abd Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan & Jaringan Industri, Encik Soo Yew Phong, Koordinator ICAN dan Puan Nur Syuhada Muhamad sebagai Ketua Projek kerjasama tersebut.