KOTA KINABALU, 25 Julai 2024 – Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) UiTM Cawangan Sabah dengan kerjasama Unit Kaunseling Kerjaya kampus telah mengadakan Program Pemantapan AKRAB Siri 1 UiTM Cawangan Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Wibawa. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, kebersamaan dan tanggungjawab bersama Warga UiTM Cawangan Sabah dan ahli AKRAB sebagai agen penggerak dalam melayari suka dan duka organisasi melalui medium yang tepat dapat melahirkan budaya kerja kelas pertama. Melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18/2005, AKRAB merupakan penjenamaan semula versi rakan pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada peranan sebagai rakan pembimbing di agensi. AKRAB membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak, Bestari yang merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing. Antara peranan penting AKRAB adalah menjadi rakan yang peka kepada perasan orang lain dan keadaan sekeliling, memberi sokongan kepada perubahan yang lebih baik, sumber kepada rakan untuk berkongsi permasalahan dan memperkuatkan semangat rakan yang ingin berubah.
Program dimulakan dengan Mesyuarat AKRAB yang dipengerusikan oleh Penyelaras AKRAB UiTM Cawangan Sabah iaitu Puan Nurul Aashiqin Mohamed Hanib, Pegawai Psikologi Kanan, Ahli AKRAB CARE Puan Adelina Ebun, Ahli AKRAB Encik Asmad Mohd Noor dan Ahli AkRAB Puan Nurul Huda Roslan. Turut hadir bersama Puan Nor Hayat Zakaria, Kaunselor Kanan UiTM Cawangan Sabah.
Usai bermesyuarat, program diteruskan dengan sesi ‘Ice Breaking’ oleh pelajar Latihan Industri dan perkongsian ilmu berkenaan Sesi Penstrukturan. Penstrukturan merupakan satu kemahiran yang sangat penting di dalam sesuatu sesi kaunseling. Penstrukturan yang dilaksanakan dengan baik dalam sesuatu sesi kaunseling itu, ia akan dapat membina hubungan yang mesra dengan klien. Proses penstrukturan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal. Selain latihan dalam kumpulan dan taklimat AKRAB, melalui program ini ahli dapat meneliti dan memperbaharui teknik penstrukturan dan kaunseling. Matlamat utama program ini adalah untuk memperkasa peranan AKRAB di kampus dan menghulurkan bantuan kepada warga dalam mendepani cabaran masa kini. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (Al- Quran).