09 Januari 2023: Persatuan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (DiBSSA), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadakan Program Orientasi Pelajar Semester 1, Diploma Pengajian Sukan (SR113) bagi sesi pengajian Oktober 2022 – Februari 2023 baru – baru ini. Objektif utama program adalah untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan di antara pelajar – pelajar baharu dengan pelajar – pelajar lama dan pensyarah – pensyarah khususnya melalui aktiviti – aktiviti yang dijalankan. Selain kepentingan Pengajaran dan Pembelajaran di dalam silibus program, pelajar – pelajar baharu di Fakulti perlu diterapkan dengan nilai adab dan amanah dalam pelbagai aspek pendidikan. Penekanan kepada nilai ini dan pemikiran progresif di dalam ekosistem pembelajaran dan pengajaran adalah penting bagi mewujudkan pelajar yang berdaya saing dan berintelek tinggi.
Kem Sri Gading, Pusat Pengajian Industri Perkayuan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka merupakan lokasi program ini diadakan dengan penglibatan seramai 68 pelajar Diploma, 22 fasilitator persatuan, 7 pensyarah dan 2 kakitangan sokongan. Program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh penasihat persatuan Cik Fatin Aqilah Abdul Razak dan di ikuti dengan pengarah program bagi menerangkan tentatif aktiviti – aktiviti yang bakal berlansung.
Antara aktiviti – aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah seperti trekking / trail, bergotong – royong, ice – breaking, tazkirah, solat berjemaah, bacaan Yassin dan doa selamat, survival skills, night walk dan trail, senamrobik, management game dan blind – trail dengan dorongan dan bimbingan pensyarah serta fasilitator program. Melalui program-program seperti ini, pelajar – pelajar baharu akan lebih mengenali potensi diri yang seterusnya akan menjadi panduan untuk melaksanakan tugasan dengan lebih baik dalam pengajian. Selain menerapkan unsur-unsur nilai murni, pelaksanaan program juga dapat mengasah minda supaya lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing pada masa akan datang.
Penulis: Mohamed Azizul Bin Mohamed Afandi, Fatin Aqilah Binti Abdul Razak, NurAtikah Binti Mohamed Kassim, Mohd Azharul Bin Azemi.