9 Jun 2024 – Telah berlangsung Program Nostalgic Race: Kembali ke Zaman Silam Bersama Pelajar Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262) anjuran kumpulan pelajar semester dua program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262). Program yang diuruskan oleh seramai 49 orang peserta pada hari Ahad, 9 Jun 2024 yang lalu bertempat di sekitar kawasan bangunan Kolej Tun Teja Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, telah berlangsung program “Nostalgic Race” anjuran pelajar semester dua program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262) serta dipantau oleh Pensyarah Penasihat, Puan Hazlin Hasan. Program ini dianjurkan sebagai salah satu platform untuk mendedahkan kembali tentang keunikan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Melayu yang semakin dilupakan oleh golongan muda hari ini. Seterusnya, program ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Azizul bin Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang dan melibatkan seramai 49 orang peserta ini turut menyaksikan kolaborasi di antara pelajar Pusat Pengajian serta ahli Kelab Students of Indigenous People (SIP) UiTM Cawangan Pahang.
Selain itu, pengisian program diisi menerusi permainan yang telah dipertandingkan secara berkumpulan seperti permainan batu seremban, lari dalam guni, teng-teng dan berjalan di atas tempurung. Sejurus selepas semua pertandingan berakhir, para peserta telah dipertontonkan dengan tayangan video tentang jenis permainan tradisional serta asal usul permainan masyarakat Melayu serta orang Asli di Semenanjung Malaysia di dalam majlis penyampaian hadiah dan penutupan program.
Selain dari memenuhi keperluan kod kursus EVM490 (Pengurusan Acara dan Amalan) Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262), penganjuran program ini turut berjaya memenuhi keperluan SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) serta SDG 4 (Quality Education) yang menyaksikan perkongsian ilmu dalam pengurusan acara dan amalan yang betul dalam kalangan pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi serta ahli Kelab SIP.
Tinjauan ringkas yang dilakukan oleh pihak penganjur dalam kalangan peserta sebelum program tamat mendapati hampir semua yang terlibat merasa sangat teruja dengan semua aktiviti yang telah mereka sertai. Secara tuntasnya, semoga program yang dijalankan ini dapat terus diadakan sebagai alternatif kepada aktiviti riadah sukan sedia ada kerana program sebegini bukan sahaja menyeronokkan, bahkan memberi mereka peluang untuk menghidupkan kembali permainan tradisional yang semakin luput ditelan zaman.