NADA ORIENTATION DAY & ACADEMIC ADVISOR SESSION 2020.

Pada tarikh 15 Oktober 2020 yang lalu, Nutrition and Dietetics Students’ Association (NADA) telah menganjurkan program Nada’s Orientation Day & Academic Advisor Session 2020 menggunakan platform Google Meet. Program tersebut telah bermula pada jam 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Program ini dijalankan untuk meraikan serta memberi pendedahan kepada mahasiswa baru tentang suasana di universiti di peringkat Sarjana Muda. Idea untuk mengadakan program ini masih diteruskan sehingga kini apabila melihat keberkesanan program ini yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya iaitu membantu mahasiswa-mahasiswa baru untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta memperkenalkan ahli organisasi Jabatan Pemakanan dan Dietetik.

Sesi pertama program ini, iaitu, NADA’s Orientation Day 2020 melibatkan para pensyarah, staf klinikal dan pelajar semester pertama. Sesi ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa baharu tentang latar belakang organisasi jabatan Pemakanan dan Dietetik.

Pengarah program, Nur Haifaa Aqilah binti Mohd Radzi mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa baharu dan berterima kasih di atas kesudian meluangkan masa berkumpul bagi menjayakan program ini.

Ketua Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Dr. Siti Sabariah telah merasmikan program NADA’S ORIENTATION DAY & ACADEMIC ADVISOR SESSION 2020 serta mengucapkan rasa gembira dan syukur kerana dapat melihat wajah-wajah mahasiswa baru meskipun secara alam maya menggunakan platform Google Meet. Beliau juga berharap segala ilmu yang bakal diperoleh akan dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat dan negara.

Sesi seterusnya, iaitu Academic Advisor Session pula dijalankan dengan melibatkan pelajar dari semester satu, semester tiga, semester lima dan semester tujuh bersama penasihat akademik masing-masing. Sesi ini bertujuan mendedahkan para pelajar tentang kepentingan penasihat akademik sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan penasihat akademik masing-masing.

Oleh yang demikian, program yang bertemakan orientasi ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang perkara-perkara yang penting berkaitan jurusan dan persatuan ini di samping menjalinkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa dengan penasihat akademik masing-masing dan seluruh ahli organisasi Jabatan Pemakanan dan Dietetik.

0
0