PULAU PINANG, 31 Mac 2023 – Pada 29 Mac 2023 bersamaan 7 Ramadhan 1444 H yang lalu telah berlangsung program motivasi secara maya oleh Pengarah Pejabat Pra Pendidikan Tinggi (PPT), Profesor Ts. Dr. Aini Jaapar. Seramai 61 orang pelajar pra diploma UiTM Cawangan Pulau Pinang telah terlibat dalam sesi taklimat secara atas talian dengan menggunakan platform Webex. Program ini juga turut mengumpulkan semua pelajar pra diploma dari seluruh kampus UiTM dan telah berjalan dengan lancarnya selama 2 jam.
Di UiTM Cawangan Pulau Pinang, program ini telah diadakan secara hibrid yang mana semua pelajar pra diploma berkumpul secara bersemuka di Bilik Perdana 1 bagi mengikuti program ini. Objektif utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan keyakinan dan kesedaran para pelajar tentang peri pentingnya peluang pendidikan demi masa hadapan yang lebih baik. Selain itu, diharapkan juga agar program sebegini dapat memberi impak dalam penentuan hala tuju pemilihan program diploma kelak.
Program pra diploma UiTM adalah peluang terbaik untuk para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ambil bagi melanjutlkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ia sejajar dengan dengan matlamat penubuhannya adalah untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak Melayu, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah/Sarawak di bandar mahupun luar bandar yang berpendapatan gaji kasar ibu bapa kurang atau lebih RM5000 sebulan. Peluang ini juga terbuka buat pelajar-pelajar yang layak dari segi syarat SPM tetapi tidak mendapat tawaran tempat pengajian di universiti oleh kerana merit dan sebagainya.
Setiap semester UiTM Cawangan Pulau Pinang akan menawarkan 3 program akademik iaitu Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains dan Pra Diploma Sains STEM C Sastera. Pada sesi kemasukan Mac 2023, seramai 61 pelajar lepasan SPM sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kedah telah mendaftar masuk program Pra Diploma Perdagangan dan Pra Diploma Sains STEM C Sastera di UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program motivasi ini telah tamat pada jam 4 petang dan kesemua pelajar dilihat memberikan komitmen yang baik sepanjang program berlangsung.