Program Misi Akademik beri pendedahan mengenai permohonan ke Universiti Teknologi MARA

KOTA SAMARAHAN – Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah menganjurkan program Misi Akademik pada 25 Januari 2021 (Isnin) di Bilik Mesyuarat Utama, Kampus Samarahan. Program ini telah berlangsung secara dalam talian melalui laman Facebook rasmi Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UiTM Cawangan Sarawak.

Objektif utama program Misi Akademik ini adalah untuk menguar-uarkan pembukaan permohonan ke UiTM yang berfokuskan kepada penggunaan Unit Pusat Universiti (UPU) sebagai platform untuk memohon penempatan dan juga untuk mendedahkan beberapa syarat am permohonan tersebut. Di samping itu, Misi Akademik ini juga diselitkan sesi perkongsian mengenai lima program diploma yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sarawak, iaitu Diploma Seni Lukis dan Seni Reka, Diploma Seni Halus, Diploma Pengajian Sukan, Diploma Kimia Perindustrian dan Diploma Teknologi Makanan.

Turut hadir dalam program ini ialah Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Encik Mohd Noor Asyraff Hamdi, Penolong Pendaftar Akademik, dan Puan Fareiny Morni, Penyelaras Misi Akademik sebagai hos; serta beberapa orang pembentang yang lain dari setiap fakulti. Program ini diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada pelajar yang berminat agar mereka mendapat peluang untuk menyerlahkan potensi mereka dalam bidang yang diminati.