PROGRAM MINI SAMBUTAN KAYUHAN 25 TAHUN UiTM PERINGKAT UiTM CAWANGAN PERAK

Seri iskandar, 1 Julai 2024 – Program Mini Sambutan Kayuhan 25 Tahun UiTM Cawangan Perak (Seri Iskandar) merupakan satu program inisiatif dan idea dari Prof. Madya Dr Nur Hisham Ibrahim, Rektor UiTM Perak sendiri sebagai tanda sokongan dan suntikan semangat kepada Pasukan Program Kayuhan Kapsul 25 Tahun Rentas Cawangan  UiTM yang terlebih dahulu memulakan kayuhan bermula 20 Jun 2024 bermula dari kampus UiTM Shah Alam dan dijangka menghabiskan pada 2 Julai 2024 dengan kayuhan keseluruhan  meliputi jarak sejauh hampir 2000km mengelilingi Semenanjung Malaysia dan singgah di setiap Kampus cawangan di seluruh sistem UiTM.

Menurut Pengarah Projek, En Mohd Shahrizan Mohd Said, Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Bina dan Teknologi (JABT) UiTM Cawangan Perak, objektif utama program adalah untuk memupuk semangat setia dan cintakan UiTM di kalangan warga UiTM khususnya perserta Kayuhan pengiring dari pasukan UiTM Cawangan Perak untuk menzahirkan semangat kesetiaan dan semangat UiTM Di Hatiku dengan mengharungi cabaran dan dugaan berkayuh dari UiTM Cawangan Seri Iskandar Perak bersama-sama Pasukan Utama Kayuhan Rentas Kapsul dengan berkayuh sejauh 216km menuju ke UiTM Puncak Alam.

Program bermula dengan acara sambutan ketibaan Pasukan Utama Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan yang tiba di UiTM Cawangan Perak kampus Seri Iskandar bersama-sama Pasukan Kayuhan Pengiring UiTM Pulau Pinang pada petang 30 Jun 2024. Acara sambutan telah dirancang dan dilaksanakan oleh Unit Komunikasi Korporat UiTM cawangan Perak dan disertai oleh Rektor UiTM Perak bersama beberapa pengurusan atasan dan pelajar-pelajar untuk memeriahkan lagi acara sambutan tersebut. Selain itu aktivit menanam pokok juga telah diadakan sebagai acara simbolik  bertepatan dengan slogan “Menuju Kelestarian Alam Sekitar” yang bermatlamatkan Sustainable Development Goals (SDG) 3, 11, 13, dan 17 dengan kerjasama Pulau Banding Foundation (PBF) dan sokongan Pasukan Kampus Hijau UiTM cawangan Perak.

Acara Pelepasan Program Mini Sambutan Kayuhan 25 Tahun UiTM Cawangan Perak telah berlangsung pada 1 Julai 2024 lebih kurang jam 9.00 pagi di mana pasukan pengiring UiTM Cawangan Perak diketuai oleh YBhg. Rektor bersama ahli pasukan seramai 17 orang yang terdiri dari kakitangan akademik dan kakitangan sokongan UiTM Perak telah memulakan kayuhan mengiringi kayuhan ke UiTM Puncak Alam bersama pasukan Utama menuju ke Kampus UiTM Puncak Alam. Perjalanan awal dari UiTM Seri Iskandar adalah melalui Jalan Lambor Kiri menuju ke Changkat Lada dan tiba ke Jambatan menghala ke Bagan Datuk. Pasukan kayuhan akan melalui jalan Sabak Bernam, Sekinchan, Tanjung Karang, Kuala Selangor dan terus ke UiTM Puncak Alam melalui kawasan Ijok, Selangor.

Pada peringkat permulaan perjalanan ke Puncak Alam, keadaan cuaca di sebelah pagi amat baik dan sangat membantu kemampanan kayuhan setiap perserta untuk jarak 70km yang pertama. Hentian pertama adalah di stesen Minyak Shell Hutan Melintang iaitu sejurus pasukan melepasi Jambatan Sultan Nazrin Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Bagan Datuk.   Menjelang tengahari cuaca panas mula mencabar ketahanan mental dan fizikal di mana setiap peserta dan pasukan terpaksa merancang untuk melakukan penyaluran bekalan air dan makanan secara dalam mod kayuhan. Para petugas krew teknikal dan pasukan kenderaan pengiring telah melakukan tugas terbaik untuk memastikan setiap peserta mendapat keperluan air dan makanan yang secukupnya.

Pasukan kayuhan telah berhenti di beberapa kawasan seperti Masjid di Daerah Sekinchan, Selangor untuk solat jamak dan juga di Petronas Pekan Ijok untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke UiTM Puncak Alam yang berbaki 40km. Setelah berkayuh hampir 7 jam, pasukan pengiring UiTM Perak telah tiba di pintu masuk UiTM Puncak Alam sekitar jam 6.30 petang dan disambut dengan meriah oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Selangor kampus Puncak Alam, Prof Madya Badrul bin Isa dan beberapa kakitangan Unit korporat UiTM serta wakil MPP di hadapan perkarangan Rumah Tamu dan kawasan bangunan Penginapan Pelajar UiTM Puncak Alam. Pasukan UiTM cawangan Perak telah dijamu dengan hidangan minum petang dan makan malam serta diberikan tempat menginap yang selesa oleh pihak penginapan UiTM kampus Puncak Alam.

Pada 2 Julai 2024 jam 7.30 pagi, pasukan kayuhan UiTM Perak bersama-sama pasukan kayuhan utama UiTM telah keluar dari penginapan UiTM Puncak Alam dan bersiap sedia untuk berkayuh ke UiTM Shah Alam bersama Naib Canselor UiTM YBhg. Datuk Prof, Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin bersama-sama mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor. Kayuhan yang  bermula dari UiTM Puncak Alam dianggarkan berjarak lebih kurang 30km menuju ke UiTM Shah Alam diiringi oleh Polis Di Raja Malaysia di speanjang perjalanan sehingga pasukan tiba di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam untuk sesi Program bersama Raja Muda Selangor.

Simbolik disebalik Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan bersempena ulangtahun ke-25 tahun UiTM ini adalah berkonsepkan  pengumpulan hasrat dan amanat setiap Kampus Cawangan UiTM termasuk Sabah dan Sarawak yang akan dibawa bersama oleh pasukan kayuhan Utama di dalam bekas berbentuk Kapsul yang kemudiannya akan di semadikan di monumen yang bakal dibina dan dilancarkan sempena sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.

Ironinya penglibatan Pasukan Pengiring dari UiTM cawangan Perak telah membuktikan kesungguhan dan komitment yang tinggi dalam menyantuni pasukan kayuhan Utama sebagai satu sumber inspirasi perjuangan seluruh warga UiTM dalam memartabatkan UiTM sebagai satu universiti yang berwawasan dalam mendepani cabaran global dan sentiasa memelihara kelestarian alam sekitar sebagai satu hasrat dan matlamat yang perlu diwarisi oleh generasi akan datang. Syabas diucapkan kepada Pasukan Kayuhan UiTM cawangan Perak dan juga pasukan kayuhan Utama UiTM atas kejayaan yang dikecapi di dalam program ini.