MELAKA, 3 Januari 2025 – Telah berlangsungnya Program Mendepani Isu Kepenggunaan: Wacana Bersama Pakar Industri yang melibatkan 180 orang peserta bertempat di Auditorium Ibu Zain, Aras 4, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka.
Dua sesi pembentangan berkaitan isu-isu perlindungan pengguna dan kepenggunaan telah diadakan dan disampaikan oleh En. Nurul Hafzi bin Hamid, Pegawai Tribunal, Tribunal Tuntutan Pengguna Melaka, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka yang bertajuk “Kenali Fungsi dan Peranan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)” manakala Tuan Fairul bin Md Yusof, Pegawai Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka telah berkongsi topik “Etika dan Hak Perlindungan Pengguna Melibatkan Transaksi Pembelian secara dalam Talian”.
Objektif penganjuran program ini adalah sebagai platform bagi tujuan perkongsian segala maklumat dan info terkini lagi relevan khususnya berkaitan etika dan hak perlindungan pengguna dalam transaksi pembelian atas talian demi manfaat bersama. Selain itu, program ini turut menjadi antara usaha ke arah mewujudkan jalinan kerjasama pintar antara warga UiTM Cawangan Melaka dengan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Melaka demi manfaat bersama. Di samping itu, program ilmiah ini merupakan inisiatif warga pensyarah Undang-Undang UiTM Kampus Bandaraya Melaka sempena Collaborative Teaching bagi kod kursus Business Law (LAW416), dengan kerjasama pihak tribunal dalam usaha ke arah memperkasakan tahap literasi undang-undang dalam kalangan warga UiTM Cawangan Melaka, khusunya pelajar yang berkaitan dengan perlindungan pengguna dan kepenggunaan.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh En. Mohd Ab Malek bin Md Shah, Koordinator Jabatan Undang-Undang, UiTM Cawangan Melaka. Turut hadir adalah YBhg. Puan Norena binti Jaafar, Pengarah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka.
Semoga segala perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang telah disampaikan oleh para panel akan memberikan satu nilai tambah yang cukup berguna kepada para peserta agar sentiasa celik dan cakna terhadap segala hak dan tanggungjawab sebagai seorang pengguna secara bijak dan tuntas.