Program “Mencari Khalifah Muda: Sehari di Riyadhus Solihin”

Pada 22 Jun 2024 (Sabtu) yang lalu, telah berlangsung Program “Mencari Khalifah Muda: Sehari di Riyadhus Solihin” anjuran kumpulan pelajar BA1325B yang merupakan pelajar tahun akhir , Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang. Program yang melibatkan seramai 50 orang peserta terdiri daripada golongan kanak-kanak berumur antara 4 tahun sehingga 7 tahun berasal dari kawasan kejiranan di sekitar Bandar Pusat Jengka ini telah diuruskan oleh seramai 37 orang penganjur termasuk sukarelawan serta dipantau oleh Encik Muhammad Hafiz bin Suhaimi, selaku Pensyarah Penasihat Program.  Selain daripada memenuhi keperluan kod kursus Pengurusan Acara (OBM310) yang wajib diambil oleh semua pelajar Semester 5, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA132), program ini turut dianjurkan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa UiTM tentang aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan selain dari memberi peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat luar.

 

Program yang diadakan di Masjid Riyadhus Solihin, Taman Permatang Shah Bandar 2, Bandar Jengka ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Bin Wan Abdul Rahman, selaku Timbalan Rektor Penyelidikan Dan Jaringan Industri (PJI) yang menjalankan fungsi Rektor, UiTM Cawangan Pahang dan telah bermula seawal jam 8:00 pagi. Para peserta telah diberi pendedahan dan peluang untuk melaksanakan beberapa aktiviti amali seperti mengambil wuduk yang sempurna dan menunaikan solat sunat dhuha yang dikendalikan oleh Yang Berusaha Ustaz Mohd Roshidi bin Mat Sabri merangkap Imam Masjid Riyadhus Solihin.  Selain dari itu, program ini juga berjaya mengeratkan hubungan silaturahim di antara pihak penganjur, peserta dan ibu bapa serta masyarakat setempat melalui aktiviti sukaneka, aktiviti mewarna, serta aktiviti gotong-royong yang turut diselitkan bagi mengimarahkan kawasan masjid menerusi aktiviti khidmat komuniti ini.

Program ini turut dijalankan bagi memenuhi pencapaian Sustainable Development Goals (SDG’s) UiTM iaitu Good Health and Well-Being (SDG 3) melalui aktiviti gotong royong serta sukaneka di kalangan peserta dan penganjur dan Quality Education (SDG 4) melalui aktiviti pembelajaran tentang ilmu keagamaan iaitu solat sunat dhuha dan pengambilan wuduk yang sempurna.  Selain itu, program ini telah mencapai Partnership for the Goals (SDG 17) yang menyaksikan penglibatan masyarakat dan komuniti setempat serta kolaborasi bersama pihak Masjid Riyadhus Solihin selaku Non-Government Organization (NGO).   Penunjuk prestasi PI023 serta PI079 yang berkaitan dengan jumlah masyarakat akan menerima impak yang besar dari program ini serta PI086 berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan yang berkait rapat dengan ESI-iDART UiTM.

Maklumbalas yang sangat baik dan memberangsangkan telah diterima daripada peserta dan ibu bapa kepada pihak penganjur sejurus program berakhir.   Dengan ini, adalah diharapkan program yang telah dijalankan ini dapat memberikan manfaat kepada kesemua peserta dari segi didikan rohani dan jasmani serta mengeratkan ukhwah dan silaturrahim di antara mahasiswa dengan masyarakat setempat.