Program Mau’izah Siri Jun 2024 di BPPA : Tanah Suci Haramain

Pada hari Jumaat, 28 Jun 2024 yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) UiTM Shah Alam bersama Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah menganjurkan Program Mauizah Bulan Jun 2024.  Ceramah tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat BPPA dari 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi dan dihadiri oleh semua warga BPPA. Ustaz Ahmad Ammar Rozaini telah diundang sebagai penceramah yang menyampaikan ceramah bertajuk “Tanah Suci Haramain”. Beliau merupakan Penolong Pendaftar (HEI) di UiTM Shah Alam.

Dalam ceramahnya, Ustaz Ahmad Ammar telah menerangkan definisi Haramain iaitu dari segi Bahasa: Al-Tahrim (menahan atau menegah).  Makkah dan Madinah dinamakan dua Tanah Haram kerana kehormatan kedua-duanya.  Allah SWT telah mengharamkan beberapa perkara daripada dilakukan di dalamnya yang tidak dilarang di tempat lain. Kelebihan Tanah Haram adalah ianya merupakan tempat yang mulia, selamat dan aman.  Tiada waktu ditegah untuk mengerjakan solat sunat, Makkah terpelihara daripada wabak taun dan fitnah Dajjal, banyak tempat mustajab untuk berdoa serta digandakan 100 ribu kali ganda bagi setiap solat dan amalan kebajikan yang dikerjakan.

Banyak kelebihan yang utama di dua tanah suci yang diberkati tuhan sehingga ke akhir zaman. Moga Allah SWT memberi peluang dan ruang kepada kita untuk berkunjung ke bumi rahmah dan berkah ini, menyucikan hati daripada dosa dan noda, mententeramkan jiwa serta menyuburkan cinta dan rindu kepada Allah dan RasulNya. Semoga warga BPPA semua dapat menyelami dan merasai kelebihan tanah haram dan suci Kota Madinah.