Program Majlis Restu Ilmu FSK 2023

BERTAM, 14 Julai 2023 – Program Majlis Restu Ilmu FSK 2023 anjuran Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam telah berlangsung dengan jayanya. Seramai kira- kira 312 pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan telah mendapat manfaat dari penganjuran program yang telah berlangsung pada Khamis lalu, 13 Julai 2023 di Dewan Peperiksaan Tun Abdul Razak Kampus Bertam.

Program ini bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk memohon restu dan doa daripada para pensyarah dan staf sebelum menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi. Selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan staf serta pensyarah, program ini juga dapat memberi semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan tenang demi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Sehubungan itu, pihak AJK Majlis Restu Ilmu FSK 2023 telah menjemput Dr Nor Raihan Mohammad Shabani selaku penyelaras peperiksaan untuk menyampaikan taklimat peperiksaan dan Dr. Muhammad Anas Ibrahim, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari untuk menyampai ceramah tentang Strategi Menghadapi Stress dan Kebimbangan. Dr Muhammad Anas Ibrahim sangat menitik beratkan kepentingan anak muda di masa kini kerana mereka adalah tunggak dan harapan negara. Oleh itu, pelajar diingatkan untuk bijak mengatasi tekanan dengan berkongsi masalah dengan kawan- kawan, keluarga terdekat serta mendapatkan bimbingan daripada pihak kaunselor.

Dr Muhammad Anas Ibrahim juga mengingatkan tentang ayat 28, Surah Al- Rad ada menyatakan “ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram”. Justeru, pelajar diingatkan supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan solat, berzikir dan membaca Al- Quran untuk ketenangan jiwa. Stress perlu diambil secara serius kerana stress yang sederhana boleh menjadi suatu bentuk yang kuat. Pihak AJK Majlis Restu mengharapkan para pelajar bersemangat dan tenang dalam meghadapi peperiksaan.