SHAH ALAM, 10 SEPTEMBER 2024: Perpustakaan Tun Abd Razak (PTAR) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (MPP), Kelab Silaturahim Bagan Datuk, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Bagan Datuk (GPMS) dan Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk telah mengadakan Program Literasi Maklumat Komuniti Sekolah Parlimen Bagan Datuk pada 6 hingga 8 September 2024.
Program yang julung kalinya diadakan di PTAR melibatkan 110 orang pelajar dari 11 buah sekolah di Parlimen Bagan Datuk telah mengikuti modul-modul literasi maklumat disamping merasai suasana pembelajaran di dalam kampus UiTM.
Antara aktiviti yang disediakan sepanjang program 3 hari 2 malam adalah teknik pencarian maklumat, teknik bacaan pantas, penerapan budaya ilmu, nilai kenegaraan (3R-Race, Religion, Royalty) dan kepimpinan dalam ledakan teknologi maklumat era IR 5.0 (Industrial Revolution 5.0).
Sejurus tiba di kampus pada hari Jumaat, para pelajar dan guru menghadiri Majlis Makan Malam yang diadakan di ruang Library Community Engagement, PTAR. Majlis telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahaya, ADUN Rungkup merangkap Exco Perak, Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid mewakili Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tuan Ts Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM dan Saudara Muhammad Nabil Salleh, Timbalan Pengerusi Kelab Silaturahim Bagan Datuk.
Menurut Profesor Madya Dr Alwi Mohd Yunus, anak jati Bagan Datuk yang berkhidmat sejak sekian lama di UiTM, program ini memberi pendedahan penting kepada bakal calon mahasiswa UiTM dari kalangan peserta tentang semangat menimba ilmu yang memerlukan anjakan sikap dan cara fikir untuk menjadi insan yang berjaya.
Menurut beliau lagi, para pelajar perlu mempunyai sikap dan berperangai seperti orang yang mahu berjaya dan bukan sebaliknya, punya semangat dan jiwa yang kental dan berusaha dengan gigih kerana kejayaan itu walau subjektif sifatnya namun tidak datang dengan mudah sambil memetik ayat daripada surah al-Insyiraah:5-6.
Program ini turut menerapkan modul kesedaran tentang kepimpinan dan kenegaraan kepada para peserta. Aktiviti dilakukan dengan menelusuri sejarah perjuangan para pejuang bangsa pemimpin terdahulu dalam pembentukan UiTM sebagai wadah memartabatkan bangsa Melayu yang dahulunya mundur serba serbinya.
Ianya adalah sebahagian pendedahan bagaimana UiTM adalah satu projek mega pembangunan negara Malaysia iaitu ‘Projek Memandaikan Anak Bangsa yang Mengenang Budi’.
Menerusi aktiviti ‘tinjauan sejarah lalu’ di Galeri Tun Abdul Razak, para pelajar diuji kemudiannya dengan soalan kuiz yang diterapkan dalam ‘Info-Race Kepimpinan dan Kenegaraan’.