KOTA SAMARAHAN, 17 Jun 2023 – Program Let’s Go Green: 3R (Reduce. Reuse. Recycle) yang merupakan anjuran bersama Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Sarawak dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dianjurkan di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pada 17 Jun 2023. Program ini telah dihadiri seramai 100 orang komuniti di sekitar Kota Samarahan dan 300 orang mahasiswa dan mahasiswi UiTM Cawangan Sarawak. Program ini juga mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak dan Natural Resources and Environment Board (NREB) Sarawak.
Program ini menyaksikan Pengerusi MPKS merasmikan majlis penutupan, UiTM Cawangan Sarawak diwakili olehYBhg. Prof. Madya Dr. Hasmah Mohidin mewakili Rektor UiTM Cawangan Sarawak. Turut hadir bersama adalah Dr. Azlina Bujang; Koordinator Jaringan Komuniti UiTM Cawangan Sarawak, En. Mirwan Bin Abdul Karim; Pemangku Setiausaha MPKS, Cik Izyan Farhana Binti Zulkarnain dan En. Abdul Hafiz Abdul Khalid; Penyelaras Program Let’s Go Green dan Ahli-ahli Majlis MPKS.
Program Let’s Go Green ini merupakan Program Khidmat Masyarakat di bawah Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan telah dilaksanakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada komuniti, mahasiswa dan mahasiswi akan kepentingan menjaga alam sekitar. Selain daripada itu, peserta-peserta juga telah dilatih mencipta produk inovasi daripada bahan-bahan kitar semula seperti plastik, kertas, kaca dan sebagainya. Ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran peserta-perserta. Hal ini juga bertepatan dengan 3 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG17) yang diketengahkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai pada tahun 2030.
Selain itu, program ini merupakan kesinambungan daripada enam program yang telah dianjurkan di enam kampung iaitu:
1. Program #kempengadong (17 Disember 2022)
2. Program Komuniti Asajaya Laut (31 Disember 2022)
3. Program Kelestarian Alam Sekitar (8 Januari 2023)
4. Program Kitar Semula: Bengkel Kemahiran Menghasilkan Bunga Hiasan Melalui Kulit Jagung (14 Januari 2023)
5. Program 3R Kampung Muara Tuang (18 Februari 2023)
6. Program 3R Kampung Empila (18 Mac 2023)
Program-program ini telah mendapat maklum balas yang positif dan menggalakkan di kalangan para peserta. Diharapkan program-program seperti ini akan dapat dijalankan dengan lebih banyak pada masa akan datang.