SEREMBAN, 2 Disember 2024 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban telah menganjurkan program Lestari Budaya bagi memupuk semangat kesedaran dan kesepaduan melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan. Tujuan utama program ini adalah untuk memelihara serta melestarikan kebudayaan warisan Malaysia terutamanya nyanyian serta tarian yang cukup kaya dengan keunikan serta falsafah berkaitan alam sekitar.
Menurut Ketua Program Lestari Budaya, Saudari Saidatul Maisa’ Binti Mohamed Hamdan yang juga merupakan Timbalan Presiden BEVA Sesi 2023/2024, program ini diadakan sebagai usaha untuk menghidupkan semula minat generasi muda yang berada di universiti terhadap pelbagai bentuk kesenian dan kebudayaan tradisional Malaysia. Pada masa yang sama, BEVA ingin memperkenalkan kesenian dan kebudayaan Sabah dan Sarawak kepada warga UiTM Seremban. Dengan adanya program ini, warga yang berasal dari Semenanjung Malaysia akan dapat mengenali dengan lebih mendalam nyanyian serta tarian etnik Sabah dan Sarawak.
Program tersebut dimulakan dengan persembahan silat dari pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar yang mewakili Persatuan Pencak Silat dan Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi UiTM Kampus Seremban. Para pelajar FSPPP ini telah menunjukkan kebolehan mereka dalam seni mempertahankan diri dengan gerakan-gerakan yang penuh ketangkasan dan keanggunan. Persembahan nyanyian turut dipersembahkan melalui nyanyian lagu-lagu Melayu Asli dan nyanyian etnik Sabah serta Sarawak.
Manakala persembahan di segmen terakhir adalah tarian tradisional Malaysia. Tarian dimulakan dengan Tarian Karantikung yang ditarikan oleh Saudara Mohamad Rohin Solehin Bin Jali. Tarian ini berasal dari Suku Kaum Sungai di Sabah yang banyak dijumpai di daerah Pitas, Tongod, Beluran, Sandakan, dan Kinabatangan. Tarian Karantikung ditarikan sebagai tanda kesyukuran dari hasil pertanian yang telah menjadi sumber ekonomi mereka. Gerak tarinya juga diinspirasikan dari gerakan bercucuk tanam dan menuai bagi menaikkan semangat penarinya. Tarian seterusnya adalah Tarian Inang dan Tarian Zapin Johor. Tarian Zapin Johor yang dipersembahkan telah menggabungkan Zapin Asli Johor, Zapin Pekajang, dan Zapin Parit Sakai yang telah menjadi salah satu simbol budaya masyarakat Melayu Johor. Tarian ini telah dikoreografi oleh En. Mohd Idham Mohd Yusof dan Saudari Rafiadah Nur Humairah Binti Tuah Amir Fakir. Tarian yang dipersembahkan juga telah berjaya menarik perhatian penonton dengan gerakan yang lincah dan penuh ekspresi, menghidupkan suasana dewan dengan keindahan seni tari tradisional.
Program Lestari Budaya telah menjadi platform yang baik untuk memupuk rasa bangga dalam kalangan pelajar terhadap warisan budaya Malaysia. Tetamu yang hadir turut mengenakan busana bertemakan etnik Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak bagi menghargai kepelbagaian kebudayaan yang membentuk identiti Malaysia. Hal ini mencerminkan bahawa kesenian serta kebudayaan juga berfungsi sebagai tiang seri keempat pembangunan mampan yang wajar dilestarikan disamping pembangunan secara fizikal. Program Lestari Budaya ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan dalam skala yang lebih besar dengan pengisian yang lebih berimpak bagi memastikan warisan budaya ini tidak akan hilang dimamah zaman.
Penulis: Saidatul Maisa’ Mohamed Hamdan, Mohd Idham Mohd Yusof