Program Lanjutan MoU bersama MRIQ melalui Gamifikasi Matematik 2.0 bagi Melahirkan Generasi Tahfiz Celik STEM

Sungai Petani, 22 November 2024 – Program Gamifikasi Matematik 2.0 bersama pelajar Tahfiz Maahad Riyadhil Quran (MRIQ) telah berjaya diadakan pada 22 November 2024 bertempat di Maahad Riyadhil Quran (MRIQ), Sungai Petani, Kedah. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh (UiTMCPP), sejajar dengan objektif Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 Mei 2024. MoU ini bertujuan memperkukuh kerjasama bersama MRIQ, selain menilai perkembangan pelajar Tahfiz selepas pelaksanaan dua program sebelumnya: Program Pembelajaran Berasaskan Permainan Matematik pada 17 Mei 2024 dan Bengkel Asas Pengkomputeran pada 13 September 2024.

Objektif utama program ini adalah untuk memupuk kemahiran Matematik pelajar Tahfiz melalui pembelajaran berasaskan permainan Matematik, dengan memberi fokus kepada operasi asas Matematik seperti penambahan, penolakan, pendaraban, dan pembahagian.

Program kali ini melibatkan penyertaan 19 orang pelajar Tahfiz dengan bimbingan enam pensyarah JSKM serta dibantu oleh tiga pelajar praktikal dari UiTMCPP. Aktiviti program dilaksanakan menggunakan konsep permainan stesen, yang menawarkan pengalaman pembelajaran interaktif melalui tiga permainan utama iaitu Station Cafe – pelajar mengira kos untuk penyediaan makanan dan minuman dalam situasi simulasi kafe; Ketingting Think – pelajar menyelesaikan soalan Matematik sebelum melaksanakan aktiviti fizikal ketingting; Puzzle KenKen – sejenis teka-teki seperti Sudoku, tetapi pelajar perlu menyusun nombor berdasarkan operasi aritmetik seperti tambah, tolak, darab, atau bahagi.

Program ini mendapat sambutan positif daripada pelajar. Mereka menunjukkan keterujaan dan komitmen tinggi dalam menyelesaikan masalah Matematik sambil melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti di setiap stesen. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan konsep Matematik dalam situasi yang praktikal.

Pihak JSKM berasa bangga dengan tahap kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh pelajar sepanjang program berlangsung. Program seperti ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar Tahfiz mengembangkan pemikiran ilmiah dan insaniah, khususnya dalam bidang Matematik. JSKM berharap ilmu yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar dalam pembelajaran dan kehidupan mereka. Dengan program sebegini, generasi Tahfiz yang berkemahiran dan berdaya saing dalam pelbagai aspek kehidupan dapat dilahirkan.