PROGRAM KONGSI REZEKI KPPIM UiTM 2023 BANTU PELAJAR DI MUSIM PEPERIKSAAN

SHAH ALAM, 28 Julai 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah melaksanakan Program Kongsi Rezeki bersama pelajar KPPIM yang berstatus NR (Non Resident). Program yang melibatkan seramai 52 orang pelajar di sekitar Klang, Shah Alam, Glenmarie, Puncak Perdana dan Setia Alam telah dijayakan secara berfasa bermula 20 Julai sehingga 28 Julai 2023. Sumbangan telah disampaikan oleh Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UiTM

Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi berkata sumbangan ini adalah inisiatif yang sangat bermakna kepada para pelajar yang memerlukan dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Turut mengiringi beliau semasa penyampaian sumbangan adalah Prof. Ts Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM.

Menurut Prof. Ts Dr Haryani Haron, program ini merupakan salah satu usaha KPPIM untuk menyokong pelajar di musim peperiksaan. Dengan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, para pelajar dapat memberikan fokus sepenuhnya dalam mengulangkaji.

Lebih menarik lagi penyumbang bagi Program Kongsi Rezeki ini terdiri daripada warga KPPIM sendiri yang terdiri daripada staf dan pensyarah. Sumbangan yang berbentuk pelbagai barangan makanan berjumlah sekitar RM5,000.

Para pelajar yang menerima sumbangan ini amat menghargai inisiatif Program Kongsi Rezeki ini. Rata-rata menyatakan sumbangan ini meringankan kos belanja bulanan mereka. Program ini merupakan salah satu usaha KPPIM untuk membantu pelajar. Pelbagai usaha telah dirancang dan akan dilaksanakan bagi menyokong ekosistem pembelajaran para pelajar KPPIM.