Program Komuniti UiTM bersama Pelajar Sekolah Rendah: Mengenal Pasti Kandungan Nutrien Tanah Kompos

Shah Alam – Program komuniti telah berjaya dilaksanakan bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2 (SKBK2), mengenai kepentingan kandungan nutrien dalam tanah kompos. Pelajar didedahkan mengenai komposisi nutrien utama seperti nitrogen (N), fosforus (P), dan kalium (K) yang diperlukan bagi tumbesaran dan keberhasilan tanaman. Setiap nutrien ini mempunyai peranan tersendiri dalam pertumbuhan pokok di mana nitrogen diperlukan untuk pertumbuhan daun yang sihat dan hijau, fosforus diperlukan bagi pembentukan akar dan penghasilan buah serta kalium pula membantu pengaliran air dan meningkatkan daya tahan tanaman. Apabila berlaku kekurangan salah satu daripada nutrien ini, pertumbuhan tanaman akan terjejas walaupun kandungan nutrien-nutrien lain mencukupi.

Seramai 100 orang pelajar yang terdiri daripada ahli Kelab Alam Sekitar dan Kelab Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) telah menyertai program ini. Kemudian, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dengan lima (5) orang setiap kumpulan dan mempunyai seorang fasilitator yang terdiri daripada pelajar juga. Setiap kumpulan ini akan dibekalkan kit ujian kandungan NPK. Tanah kompos pula diperolehi dari sesi modul yang telah dijalankan oleh pelajar sebelum ini. Pelajar akan menilai tahap komposisi nutrien NPK dalam tanah kompos berdasarkan perubahan warna yang dihasilkan pada skala bacaan yang diberi. Aktiviti praktikal ini secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman yang menarik dan penglibatan aktif pelajar untuk mengeksplorasi dan memahami konsep keperluan nutrien kepada tanaman dengan lebih mendalam.

Program ini yang dilaksanakan pada 8 November 2023 juga merupakan salah satu modul kolaborasi pemindahan ilmu antara pensyarah di Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan Shah Alam kepada guru dan pelajar SKBK2 di bawah Geran Community EngagementSocial Innovation Research (CE-SIR). Geran CE-SIR ini melibatkan empat (4) orang pensyarah iaitu Ir. Dr. Nur Syahiza Zainuddin, Dr. Marfiah Ab Wahid, Ts. Nurhidayah Hamzah dan Ts. Dr. Irma Noorazurah Mohamad. Program ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Keempat dan Kelima belas, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Kehidupan di Darat. Diharapkan program komuniti seperti ini dapat menjadi permulaan yang baik dalam membangunkan komuniti yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.