PROGRAM KOMUNITI “STEM4FUN”: KOLABORASI BERSAMA UiTM DAN IEEE EDS MALAYSIA MEMPERKASAKAN PENGETAHUAN STEM KEPADA 1000 PELAJAR SEKOLAH MENENGAH

SHAH ALAM, 21 SEPTEMBER 2022 – Program komuniti STEM4FUN adalah satu aktiviti pemindahan ilmu untuk memberi pendedahan dan memupuk minat para pelajar sekolah terhadap mata pelajaran yang berteraskan sains, matematik, teknologi dan kejuruteraan (STEM) melalui demonstrasi penggunaan blok elektronik (Snap Circuits), drone, teknologi realiti tambahan (augmented virtual reality) dan robot. Program ini telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam. Pendedahan ini direncanakan dengan tujuan untuk menggalakkan para pelajar memilih jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya kerjaya.

Program STEM4FUN melibatkan pendedahan teknologi terkini seperti teknologi hijau, pengunaan gajet atau peranti teknologi dalam memantapkan pemahaman para pelajar dalam subjek STEM dan ia juga merupakan pengalaman pembelajaran baharu mengenai STEM terutamanya dalam bidang peranti elektron. STEM4FUN ini juga dilaksanakan bersama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain seperti Universiti Malaya (UM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pihak industri untuk mewujudkan Quadraple Helix antara entiti universiti, industri, agensi kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan komuniti. Rakan strategik yang turut serta menyokong program ini adalah Institute Electrical Electronic Engineering (IEEE) Electron Devices Society (EDS) Malaysia, Pusat STEM Negara, AR Distributor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar bersama lima ahli iaitu Prof. Ir. Dr. Norhayati Soin, Prof. Madya Dr. P. Susthitha Menon, Ir. Ts. Dr. Rozina Abdul Rani, Ir. Dr Maizatul Zolkapli dan Ir. Dr. Azrif Manut, aktiviti ini memberi pendedahan kepada lebih 1000 pelajar untuk memperkasakan pengetahuan STEM dalam melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang STEM yang menjadi teras Revolusi Industri 4.0. Murid-murid di sekolah perlu dipupuk dan diasah terhadap penggunaan teknologi menggunakan kreativiti, mengembangkan kemahiran dalam pemikiran kritis. Kecemerlangan murid STEM ke peringkat tertiari ini dapat mengalakkan penyelidikan, pembangunan dalam ciptaan baru dan inovasi.

Projek ini mendapat sokongan penuh Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Perlaksanaan program STEM4FUN ini telah bermula dari bulan Julai 2022 dan dilaksanakan di sekolah sekitar Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.