OLAK LEMPIT, 27 OKTOBER 2024 – Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam berkolaborasi dengan TT Organics, Kebuniti Bukit Changgang 2.0, Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dan All-Party Parliamentary Group Malaysia Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) untuk menganjurkan sebuah program komuniti yang bertajuk UITM -TT ORGANICS COMMUNITY INITIATIVE: SUSTAINABLE COMMUNITY GARDEN SERIES I pada hari Ahad 27 Oktober 2024 bertempat di Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor.
Ahli jawatankuasa program ini terdiri daripada 43 orang pelajar kod kursus UHS401, Environmental Health Outreach in Community dengan bantuan pensyarah kursus tersebut. Program ini bertujuan untuk membantu ahli komuniti kebun dalam membina suatu ruang komuniti yang mampan di samping mendidik orang ramai mengenai implementasi sistem penuaian air hujan serta kebaikannya.
Program diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Jamil bin Salleh selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil sebagai perasmi program. Turut hadir adalah wakil daripada TT ORGANICS, Arah Perpaduan Nur Kasih serta Tuan Haji Abdul Nasir Jajuli, Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) Olak Lempit selaku wakil kebuniti.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pameran mengenai penuaian air hujan, pembinaan sistem penuaian air hujan, penanaman anak pokok, pembersihan reban ayam dan aktiviti sampingan bersama kanak – kanak seperti mewarna, cari silang kata dan pelbagai lagi.
rogram ini bukan sahaja mengajar mereka cara melaksanakan aktiviti komuniti, tetapi juga menyediakan peluang untuk membangunkan kemahiran insaniah kritikal seperti komunikasi dan mengukuhkan rangkaian sosial bersama komuniti. Bagi komuniti pula, program ini menyokong usaha mewujudkan ruang lestari untuk berkebun komuniti serta kawasan sosial yang dapat menguatkan modal sosial antara ahli, dengan matlamat membangunkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan sihat. Siri II dan Siri III program ini juga akan dilaksanakan dengan aktiviti-aktiviti yang berbeza untuk memperluas lagi impak program ini.