Puncak Alam, 13 Disember 2024 – Program komuniti yang dianjurkan oleh pelajar Fisioterapi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, baru-baru ini berjaya memberi manfaat kepada 20 pelatih dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puncak Alam. Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar fisioterapi tentang pengendalian program dalam komuniti serta mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari kepada peserta.
Seramai 10 orang pelajar semester 5 Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, bersama dua orang pensyarah, Dr. Nur Farhana Md Yunus dan Puan Aiman Nadia Akmar Rahman, telah mengendalikan program yang berlangsung di Makmal Pediatrik Pusat Rehabilitasi dan Perkhidmatan Klinikal, UiTM Kampus Puncak Alam. Aktiviti yang dijalankan termasuk melukis, mewarna, senamrobik, dan terapi bermain, yang bertujuan meningkatkan kemahiran motor halus, keseimbangan fizikal, dan kekuatan motor kasar para peserta.
Program yang bermula dengan sesi pendaftaran mendapat sambutan hangat, diikuti dengan aktiviti melukis untuk merangsang minat dan kemahiran motor halus kanak-kanak. Sesi senaman yang diadakan dengan bantuan video dan lagu, memberi peluang kepada peserta untuk berseronok sambil berlatih keseimbangan badan.
Program ini juga menganjurkan aktiviti sukaneka dengan menggabungkan pelbagai jenis aktiviti fizikal seperti merangkak, melompat, dan melontar bola, yang bertujuan untuk memperkukuh kekuatan fizikal dan keseimbangan peserta. Para pelatih bersorak penuh semangat, saling memberi sokongan sepanjang permainan.
Sebagai penghargaan, setiap peserta yang aktif sepanjang program menerima hadiah cenderahati. Program ini turut memberi pengiktirafan kepada guru-guru PPDK dengan pemberian cenderahati sebagai tanda terima kasih atas kerjasama mereka.
Pihak penganjur berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa depan dengan melibatkan lebih ramai sukarelawan serta sokongan daripada pihak berkaitan, dan menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan lain untuk menjalankan inisiatif yang sama bagi membantu golongan istimewa. Kerjasama yang berterusan dapat memastikan impak positif yang berpanjangan kepada komuniti, seterusnya membina masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.
Bagi para pelajar fisioterapi, program ini memberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam bilik kuliah kepada situasi dunia nyata. Melalui interaksi langsung dengan kanak-kanak istimewa, pelajar telah memperluaskan pemahaman mengenai keperluan khusus golongan ini, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan empati. Pengalaman ini tidak hanya memberikan nilai akademik, tetapi juga membentuk keperibadian pelajar untuk menjadi ahli fisioterapi yang lebih prihatin dan profesional pada masa hadapan. Kejayaan program ini juga memperlihatkan pentingnya pendekatan holistik dalam rawatan fisioterapi. Sambutan positif daripada kanak-kanak, ibu bapa, dan pihak PDK turut menunjukkan keberkesanan program ini dalam menyokong perkembangan mereka.