PUNCAK ALAM, 4 Disember 2024 – Fisioterapi memainkan peranan penting dalam bidang pediatrik dengan memberikan sokongan kepada kanak-kanak yang menghadapi pelbagai cabaran perkembangan, neurologi, dan muskuloskeletal. Melalui pendekatan intervensi yang berfokus, fisioterapi berperanan dalam meningkatkan kebolehan fizikal individu, sekali gus memperkasakan kualiti hidup mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat, aktif, dan bermakna.
Dalam usaha mempraktikkan pembelajaran teori di universiti dan menilai pemahaman para pelajar fisioterapi, pelajar Sarjana Muda Fisioterapi Semester 5 dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, telah menganjurkan Program Komuniti Bersama Pelajar Pendidikan Khas (PDK) Saujana Utama pada 4 Disember 2024 (Rabu). Program ini berlangsung di Pusat Rehabilitasi dan Klinikal Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan 2, 3 & 4, UiTM Kampus Puncak Alam.
Matlamat utama program ini adalah untuk melatih pelajar fisioterapi dalam memupuk profesionalisme serta nilai-nilai murni ketika mengendalikan program bersama komuniti pendidikan khas. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan interaksi sosial yang lebih erat antara pelajar pendidikan khas, ibu bapa, dan guru. Dalam masa yang sama, aktiviti yang dijalankan bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal dan kualiti hidup pelajar pendidikan khas. Program ini turut menjadi manifestasi tanggungjawab universiti terhadap komuniti, sekaligus mencerminkan komitmen UiTM dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Program ini melibatkan 25 orang pelajar pendidikan khas dari PPDK Saujana Utama, 20 orang ibu bapa, dan 9 orang guru PPDK Saujana Utama. Sebagai pelaksana, 14 orang pelajar fisioterapi semester 5 dan 3 orang pensyarah turut terlibat dalam menjayakan program ini. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk sesi permainan bersama pelajar PPDK Saujana Utama. Sesi perkongsian ilmu oleh pensyarah kepada ibu bapa mengenai pendidikan khas di Klinik Fisioterapi UiTM, yang disampaikan oleh Puan Aiman Nadia Akmar Binti Rahman, Dr. Farhana Binti Md Yunus dan Pegawai Pemulihan Perubatan (U41) di Pusat Fisioterapi UiTM Puncak Alam. Selain itu, Encik Romizan Bin Jathin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, turut memberikan perkongsian beliau kepada para ibu bapa yang hadir. Pelajar pendidikan khas pula melibatkan diri dalam aktiviti senaman aerobik untuk memanaskan dan menyejukkan badan, serta tiga aktiviti sukaneka yang menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal.
Program ini juga menjadi sebahagian daripada usaha kolektif untuk memastikan pelajar pendidikan khas mendapat perhatian yang sewajarnya dalam aspek pembangunan fizikal, mental, dan sosial. Di samping itu, ia juga berperanan sebagai platform untuk memperkasakan ibu bapa dan guru melalui perkongsian ilmu yang relevan dengan keperluan pelajar mereka. Melalui pelibatan daripada pelbagai pihak seperti pensyarah, pelajar fisioterapi, ibu bapa, guru, dan pelajar pendidikan khas, program ini berjaya mencipta sinergi yang amat diperlukan dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif. Aktiviti seperti senaman aerobik dan sukaneka direka khusus untuk merangsang perkembangan motor kasar pelajar, meningkatkan koordinasi badan, dan membina keyakinan diri mereka.
Program ini turut memberikan pengalaman praktikal yang sangat bernilai kepada mahasiswa fisioterapi. Selain mempraktikkan teori yang dipelajari, mereka juga berpeluang untuk membina kemahiran komunikasi interpersonal dan kerjasama kumpulan. Elemen-elemen ini adalah asas penting bagi seorang ahli fisioterapi profesional. Tambahan pula, aktiviti ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk memahami realiti cabaran yang dihadapi oleh komuniti pendidikan khas, seterusnya memupuk rasa empati dan tanggungjawab sosial.
Berdasarkan maklum balas yang sangat memberangsangkan, diharapkan program seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan. Inisiatif tambahan seperti kolaborasi dengan lebih banyak institusi pendidikan khas atau pengenalan aktiviti baharu berpotensi untuk meningkatkan lagi keberkesanan program ini. Dengan sokongan berterusan, program ini boleh menjadi model teladan dalam melibatkan komuniti pendidikan khas secara holistik. Sambutan yang diterima membuktikan keberkesanan aktiviti ini dalam membina rasa kebersamaan dan kesedaran yang lebih baik terhadap keperluan pelajar pendidikan khas.