Program Komuniti Pelajar Diploma Akuakultur UiTM Kampus Mukah bersama Penduduk Kampung Tekajong

Daro: Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi, UiTM  Cawangan Sarawak Kampus Mukah telah mengadakan Program Komuniti Luar Bandar bersama masyarakat di Kampung Tekajong daerah Daro pada 24 – 25hb Mei 2019.

Kem Motivasi Pemantapan Minda dan Akademik anjuran Persatuan Pelajar Diploma Akuakultur (Aquariors) bersama Seberkas dan JKK Kampung Tekajong ini telah disertai oleh seramai 19 orang pelajar program Diploma Akuakultur bersama empat (4) orang pensyarah UiTM Kampus Mukah dan 100 orang penduduk kampung Tekajong.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi UiTM Kampus Mukah iaitu En. Muhamad Syukrie bin Hj. Abu Talip, antara objektif penganjuran program ini adalah untuk mendekati pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah  dengan mengadakan aktiviti sains dan teknologi seperti penyediaan sampel alga mikro di bawah mikroskop, pembedahan sampel ikan, penilaian pH sampel air serta permainan sains dan teknologi.

Aktiviti-aktiviti ini mampu menarik minat anak-anak luar bandar seawal dari peringkat sekolah rendah untuk mengambil bidang jurusan sains pada peringkat menengah nanti.

Selain itu, para pelajar program Diploma Akukultur bersama-sama dengan Ketua Kaum, En. Ariffin  telah berkesempatan untuk beramah mesra dengan penduduk sekitar kampung bagi mempelajari aktiviti-aktiviti perikanan yang merupakan sumber ekonomi utama penduduk kampung Tekajong.

Demonstrasi proses pengumpulan ikan dari jaring tangkapan, proses menyiang ikan dan seterusnya proses menyalai ikan sebelum disimpan dan dipasarkan oleh para nelayan. Para pelajar juga telah mempelajari proses penghasilan produk makanan popular Kampung Tekajong iaitu Lumek Merah yang telah ditunjukkan oleh Pn. Johara dan Pn. Faridah.

Pada sebelah petang pula, penduduk kampung bersama-sama dengan pelajar UiTM telah mengadakan aktiviti menyediakan bubur lambok untuk Majlis Iftar Ramadan dan Khatam Al-Quran yang di ketuai oleh Pengerusi Seberkas kampung Tekajong iaitu En Muzaffar.

Sejurus selepas berbuka puasa, Ustaz Mohd Zuhaili Kamal Basir iaitu Pensyarah UiTM Kampus Mukah telah menyampaikan ceramah agama yang bertajuk “Lailatul Qadar: Pecutan terakhir” dan seterusnya menjadi imam bagi solat Terawih pada malam tersebut.

Majlis Khatam Al-Quran pada malam tersebut diakhiri dengan penyampaian saguhati oleh Imam Naidi kepada semua anak-anak kampung yang menyertai khatam al-Quran.

Seterusnya penyampaian sijil penghargaan oleh Ketua Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi yang diiringi oleh Penasihat Persatuan Aquariors iaitu En. Mohd Shafik Mohd Samsi kepada wakil Penghulu Kampung Tekajong, Pengerusi Seberkas, Pengerusi JKK Kampung Tekajong serta penduduk kampung iaitu Pn. Johara dan Pn. Marina yang telah sudi menyediakan penginapan dan makanan kepada rombongan UiTM Kampus Mukah.

1
0