Arau, Perlis – Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Perlis telah menjalankan Program Komuniti “Implementing Locally Developed Language Activities” bersama guru-guru Tabika KEMAS Perlis (Parlimen Arau). Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk berkongsi ilmu pengetahuan tentang penggunaan bahan-bahan pengajaran bahasa Inggeris dalam bentuk “Fun English Activities” yang berlatarbelakangkan budaya setempat di Malaysia. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberi peluang dan pengalaman kepada para pensyarah Akademi Pengajian Bahasa untuk menyumbang kepakaran kepada masyarakat setempat. Pelbagai pendedahan aktiviti dan kebaikan menggunakan bahan pengajaran tertentu disampaikan oleh para fasilitator (pensyarah APB, UiTM Perlis) kepada para guru KEMAS untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak sekitar usia 4 hingga 6 tahun.
Program ini melibatkan pemindahan ilmu secara berterusan melalui dua sesi program iaitu sesi 1 (melibatkan tiga siri bengkel pada bulan April dan Mei 2024) dan sesi 2 (melibatkan tiga siri pemantauan pada bulan Julai 2024). Tiga siri bengkel ini memberi pendedahan kepada guru-guru Tabika KEMAS modul pelajaran yang berbeza. Ketiga-tiga modul tersebut merangkumi modul “Word Building and Listening” pada 24 April 2024 disampaikan oleh Prof. Madya Dr Naginder Kaur dan Cik Nor Alifah Rosaidi, modul “Nursery Rhymes and Role Play” pada 13 Mei 2024 yang disampaikan oleh Puan Anis Maesin dan Puan Mahani Mansor, seterusnya modul “Pronunciation and Short Stories” pada 23 Mei 2024 disampaikan oleh Dr. Nazira Osman dan Puan Majdah Chulan. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta. Para guru KEMAS didapati teruja untuk menggunakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kepada murid mereka.
Pemindahan ilmu ini tidak terhenti kepada peserta dalam kalangan guru KEMAS sahaja, bahkan selepas sesi 1 (bengkel), proses pemantauan melalui sesi 2 (pemantauan) telah dilaksanakan bagi meninjau pemindahan maklumat daripada guru KEMAS kepada anak didik masing-masing di Tabika KEMAS. Tiga siri pemantauan telah dijalankan dengan memfokuskan kepada tiga orang guru KEMAS dari tiga buah lokasi yang berbeza iaitu Tabika Kampung Rambai (cerapan pengajaran modul “Nursery Rhymes and Role Play”), Tabika Simpang Sanglang (cerapan pengajaran modul “Listening and Pronunciation”) dan Tabika PPAK Arau (cerapan pengajaran modul “Word Building and Short Stories”). Para pensyarah yang terlibat membuat lawatan ke lokasi pada tarikh yang berbeza untuk mencerap maklumat pengajaran dan menilai penerimaan murid Tabika KEMAS terhadap aktiviti dan bahan pembelajaran bahasa Inggeris yang digunakan oleh guru mereka.
Hasil pemantauan yang telah berlangsung pada 17, 18 dan 19 Julai 2024 menunjukkan para guru dapat menarik perhatian pelajar terhadap bahan pembelajaran yang diberikan dengan menambah elemen kreativiti penghasilan bahan, menarik penyertaan murid menjawab soalan serta melakonkan makna sesetengah perkataan. Murid-murid pula kelihatan bermotivasi dan teruja untuk turut menjayakan aktiviti bahasa Inggeris yang disediakan oleh guru mereka. Kesimpulannya, program ini mencapai objektif yang disasarkan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kepada masyarakat di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Dalam masa yang sama, hasil pemantauan yang dijalankan menunjukkan program komuniti ini secara tidak langsung berjaya membantu guru KEMAS untuk menarik perhatian murid terhadap pembelajaran bahasa Inggeris dan menggunakan arahan mudah dalam bahasa Inggeris.