PROGRAM KOMUNITI: ENVIRONMENTAL SUSTAINABILITY GREEN WASTE

SHAH ALAM, 10 Jun 2023 – Pelajar Kolej Pegajian Kejuteraan (KPK) UiTM kampus Shah alam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang, SWCorp serta SPE UiTM Sc telah menganjurkan Program Komuniti “ENVIRONMENTAL SUSTAINABILITY GREEN WASTE” yang bertempat di Dewan Masyarakat, Meru Klang. Program ini telah berjalan dengan jayanya serta mendapat sambutan yang memberangsangkan. Seramai 53 orang peserta yang terdiri daripada wakil MPK, SWCorp, pelajar dan komuniti kawasan Meru. Program ini dirasmikan oleh TN. Abdul Razak bin Abdul Rashid (Ahli Majlis MPK) bersama pengarah program Muhammad Akmal ‘Aqil bin Shahabuddin

Program ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada komuniti secara teori dan praktikal mengenai pengurusan sisa pepejal. Melalui program ini, peserta dididik tentang penggunaan semula minyak masak terpakai serta kaedah pelupusan yang betul. Selain itu, program ini mempunyai beberapa bengkel amali untuk mencipta ‘scented candle’, sabun dan ‘lavalamp’. Terdapat tiga objektif utama yang ingin dicapai seusai program ini tamat iaitu:

1. menekankan kepentingan amalan lestari untuk kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
2. menjadikan peserta lebih kreatif dalam penggunaan semula minyak masak terpakai bagi menghasilkan pelbagai benda berguna.
3. Memupuk rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Melalui perkongsian ilmu daripada wakil SWCorp dan bengkel interaktif yang disediakan oleh pelajar KPK, peserta menunjukkan semangat serta minat yang tinggi dalam mempelajari dan mempraktikkan amalan lestari dalam kehidupan seharian mereka. Mereka juga kelihatan teruja mempelajari ilmu dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti tersebut. Peserta juga tidak segan untuk bertanya soalan-soalan berkaitan dengan penggunaan minyak terpakai agar lebih memahami konsep kelestarian alam.

Akhir sekali, diharapkan program ini sedikit sebanyak memberikan input-input kepada peserta yang mengambil bahagian. Dalam menjamin pemeliharaan serta pemuliharaan alam, setiap pihak haruslah menjalankan obligasi sendiri bagi mencapai matlamat kelestarian alam sekitar. Tidak dapat disangkal lagi bahawa inisiatif ini merupakan usaha kolektif dimana setiap individu perlulah memainkan peranan masing masing bak kata pepatah ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.