Teluk Intan, 4 Julai 2024 – Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dijemput sebagai Penceramah dan Mentor bagi Bengkel Teknik Menjawab Soalan Seni Visual (Pengkaryaan) bagiĀ Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester 2. Program ini telah berlangsung pada 4 Julai 2024 (Khamis) di SMK Seri Perak, Teluk Intan. Program yang berlangsung selama 3 jam ini melibatkan 106 pelajar calon STPM 2024 bagi mata pelajaran Seni Visual. 5 sekolah telah menghantar pelajar bagi mengikuti program ini. Sekolah ini terdiri dari SMK Sultan Abdullah, SMK Anthony, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Horley Methodist, dan SMK Seri Perak. Kesemua sekolah yang terlibat merupakan sekolah di dalam daerah Hilir Perak. Program ini juga merupakan inisiatif dari Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak.
2 orang pensyarah dari Pengajian Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Perak diundang sebagai penceramah dan mentor bagi membantu pelajar STPM dari sekolah-sekolah di Daerah Hilir Perak untuk persediaan mereka bagi menghadapi peperiksaan STPM 2024 bagi mata pelajaran Seni Visual (Pengkaryaan). Pensyarah UiTM Cawangan Perak yang terlibat adalah Dr. Khayril Anwar bin Khairuddin dan En. Mohamad Hafiz bin Yahaya. Sumbangan kepakaran ini merupakan satu perkongsian ilmu dan kepakaran kepada komuniti dari pihak UiTM kepada masyarakat setempat. Perkongsian ini lebih memfokuskan kepada asas lukisan dan teori warna bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan STPM. Bengkel bermula dengan syarahan mengenai teori mengenai lukisan dan warna. Setelah selesai syarahan teori, aktiviti melukis dimulakan dengan bimbingan oleh 2 orang pensyarah dari UiTM.
Perkongsian ini telah memberi pendedahan kepada masyarakat (pelajar) mengenai bidang seni visual dengan lebih mendalam. Ini bertepatan dengan matlamat UiTM untuk berada dekat dengan masyarakat serta menyalur bakti kepada masyarakat. Walau di dalam bidang apa pun, setiap kepakaran dan ilmu harus disalurkan kepada masyarakat agar universiti bukan sahaja sebagai institusi akademik semata tetapi juga berfungsi sebagai inkubator yang dapat membantu di dalam kehidupan seharian masyarakat.
Diharap perkongsian kepakaran ini mampu membantu para pelajar bagi menempuhi peperiksaan STPM pada tahun ini.