Program Kolokium Komunikasi Islam Anjuran FKPM UiTM Rembau

22 Jun 2024 – Program Kolokium Komunikasi Islam telah diadakan dengan jayanya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau. Program yang dianjurkan ini bagi tujuan memenuhi kod kursus CTU271, Islam dan Komunikasi. Program ini diadakan bagi  tujuan memberi  peluang kepada mahasiswa menyampaikan idea, berbahas dan mempertahankan hasil kajian dengan lebih berkesan serta penuh keyakinan secara lisan dan bertulis.

Program ini dihadiri mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Zon Selatan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Akademi Pengajian Bahasa. Mahasiswa yang terlibat terdiri daripada 49  orang peserta dari UiTM Cawangan Johor, 133  mahasiswa dari UiTM Cawangan Melaka dan 59 mahasiswa dari UiTM Cawangan  Negeri Sembilan. Jumlah keseluruhan melibatkan 241 peserta.

Program juga diisi dengan perkongsian ceramah oleh Encik Ahmad Harith bin Mohd Yusof Pengurus Cawangan Pertubuhan Interaktif Dakwah dan Tarbiyah. Beliau berkongsi tentang dunia kerjaya sebenar melalui latar belakang pendidikan dan pengalaman beliau di Indonesia agar pelajar mendapat inspirasi dan hala tuju kerjaya pada masa akan datang.

Majlis diserikan dengan perasmian oleh Puan Maizura Haji Manshor Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau dan kemuncak program mengumumkan kumpulan pemenang. Pemenang keputusan Penulisan Kertas Kerja, tempat pertama disandang kumpulan bertajuk Isu dan Cabaran Penyiaran Program Dakwah di Malaysia dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Tempat kedua dimenangi kumpulan bertajuk Isu dan Cabaran dalam Pemilihan Skrip Filem Dakwah: Imam dari UiTM Cawangan Melaka dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan bertajuk Isu dan Cabaran dalam Pemilihan Pelakon Filem Dakwah.

Manakala pemenang Pembentang Kertas Kerja, Johan dimenangi kumpulan ID0028 dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan tempat kedua dimenangi kumpulan ID005 dan ID006 dari UiTM Cawangan Johor. Keputusan Piala Pusingan Kolokium Komunikasi Islam Tahun 2024 Zon Selatan, Johan dimenangi UiTM Cawangan Negeri Sembilan dengan purata markah 83%  diikuti Johor 74% dan Melaka  72%. Justeru, program ini dapat menginspirasikan semua mahasiswa untuk terus berjaya dan mengasah bakat melalui kemahiran berkomunikasi.

Penulis: Mohamad Shafiei bin Ayub, Suhaila binti Sharil dan Mohd Khairul Nizam bin Mohd Aziz