BANTING, 21 Jun 2024 – telah berlangsungnya Program Kolaborasi CSR: Pembersihan Pantai Kelanang anjuran Kelab Sosial Akademi Pengajian Bahasa (APB) dengan kerjasama Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Bahagian Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM, UiTM Green Centre (UGC), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Syarikat Grundfos Pums Sdn. Bhd.
Objektif program kolaborasi CSR ini adalah untuk membersihkan pantai daripada sisa-sisa dan bahan pencemaran yang membahayakan alam sekitar dan membaikpulih fasiliti sekitar Pantai Kelanang. Jalinan kolaborasi antara pelbagai pihak ini juga adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam komuniti universiti, industri dan komuniti setempat mengenai tanggungjawab setiap pihak dalam menjaga alam sekitar.
Program yang bertemakan “Pantai Bersih Cantik, Komuniti Hebat” ini telah berjaya dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti. Antaranya ialah zumba, aktiviti pembersihan pantai secara dalam kumpulan, aktiviti mengecat dan melukis mural yang bersesuaian sebagai tarikan baharu pantai ini serta sesi refleksi dan perkongsian antara ahli kumpulan mengenai tanggungjawab sosial ini.
Program ini bertepatan dengan matlamat SDG 3 dan SDG 4 yang bertujuan untuk memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua peringkat umur serta memfokuskan kepada pendidikan berkualiti secara inklusif dan saksama, demi menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua. Program ini juga meliputi SDG 11, SDG 14 dan SDG 17 yang menitikberatkan hubungan kerjasama dalam memelihara dan menggunakan secara mampan lautan dan sumber marin demi mengimbangi kemampanan sosial, ekonomi dan alam sekitar. Program ini juga sejajar dengan nilai dan etika UiTM yang menekankan setiap warga UiTM perlu mempunyai sikap saling berkerjasama untuk melahirkan budaya UiTM yang sihat. Dengan gaya dan cara tindakan dan perilaku berkenaan dapat diwujudkan semangat ‘espirit de corp’ yang tinggi bagi menjamin pencapaian objektif amanah yang berkualiti.
Semoga usaha murni ini sedikit sebanyak dapat memberi impak positif dan mampu memberikan persekitaran pantai yang selesa dan kondusif kepada komuniti setempat, khususnya para pengunjung. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana sudi menggembleng tenaga dalam menjayakan program CSR ini demi kelestarian alam sekitar.
Galeri Gambar: