Program Knowledge Fest: Read, Explore Collaborate- Mempekukuh Kerjasama KPPIM dan Industri Kepustakawanan

Rembau, 5 Jun 2024 – Pelajar Sarjana Sains Pengurusan Maklumat (CDIM770-FLP), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Perdana telah berjaya menganjurkan program Knowledge Fest: Read, Explore Collaborate. Program berilmiah dengan tujuan mempromosikan bidang kepustakawanan ini merupakan anjuran bersama pihak Pusat Pengajian Sains Maklumat dari UiTM Kampus Rembau dan Kampus Machang, Perpustakaan Tun Abdul Razak Cawangan Negeri Sembilan serta Perpustakaan Tengku Anis Cawangan Kelantan. 

Program tersebut bermula dengan Bengkel Bacaan Pantas (Speed Reading), yang disampaikan oleh Encik Mohd Aizat Abd Halim, Pustakawan Kanan PTAR Cawangan Negeri Sembilan. Ia diikuti dengan sesi Forum Bersama Alumni, dengan barisan panel jemputan antaranya; Encik Mohd Rozan Ab Mutalib, Ketua Pustakawan INTI College, Puan Raja Nur Ashyikin Raja Iskandar, Ketua Pustakawan SEGi University dan Dr. Ranita Hisham Shunmugam, Pensyarah Kanan Universiti Malaya dan moderator, Cik Nur Balqis Ridzuan, Pustakawan Taylor’s University. Topik yang dibincangkan adalah “Stereotaip Seorang Pustakawan” sempena Hari Pustakawan 2024. Seterusnya, suatu webinar literasi maklumat, Citing of Sources using APA”, telah disampaikan oleh Encik Mohd Hazrul Hussin, Pustakawan Kanan PTAR.

Program Knowledge Fest telah diadakan secara hibrid, iaitu secara bersemuka di Bilik Smart Classroom, Perpustakaan Tun Abdul Razak Kampus Rembau dan di Bilik IT Perpustakaan Tengku Anis, Kampus Machang, serta bersiaran secara langsung menerusi saluran sidang video Webex, serta saluran siaran Facebook dan YouTube PTAR UiTM Negeri Sembilan.

Pelaksanaan program turut bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan hubungan antara pihak fakulti dan industri, khususnya dalam bidang sains kepustakawanan serta memberi kesedaran penggunaan dan pengurusan maklumat kepada pelajar. Justeru itu, penglibatan dan impak program menjurus kepada sasaran pelajar yang sedang menjalani kuliah dalam bidang tersebut serta alumni yang telah berjaya menempa nama di dalam industri untuk kembali berbakti dan berkongsikan bakat serta ilmu kepada pihak UiTM dan KPPIM khususnya.

Dr. Haslinda Husaini, pensyarah kanan KPPIM yang juga penasihat program menyatakan bahawa program dan aktiviti serta bengkel yang diberikan kepada pelajar terlibat akan membantu pelajar-pelajar lebih peka dalam mengguna pakai maklumat. Manakala “Program Bersama Alumni” menerima maklum balas yang sangat positif daripada alumni dalam bidang Kepustakawanan. Ketua Pustakawan, Pn.Shaeiddah Akmar Abd Rahman dari Perpustakaan Berjaya Universiti dan juga penggiat aktif Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) berasa sangat gembira dengan aktiviti yang dilaksanakan terutamanya ia melibatkan alumni dan kesedaran semasa berkenaan bidang kepustakawanan.

Program kemasyarakatan dan kolaborasi ini merupakan inisiatif yang bermatlamat untuk mempromosikan dan memasarkan peranan organisasi maklumat kepada komuniti setempat. Melalui inisiatif ini pelajar sarjana yang terlibat diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan mengetahui bagaimana ilmu yang diperolehi di dalam kelas dapat diterapkan serta meningkatkan taraf hidup komuniti. Aktiviti ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari keempat dan kesebelas iaitu pendidikan berkualiti dan bandar dan komuniti lestari. Ia juga selaras dengan visi Malaysia Madani.

Penulis: Muhammad Shafiq Amirullah dan Dr Haslinda Husaini. (Editor: KPPIM News Team)