Program “Kitar Semula Minyak Masak Terpakai” ke Arah Melestarikan Alam Sekitar

Seri Iskandar, 29 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak telah melancarkan Program Pertandingan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai anjuran Jawatankuasa Kampus Hijau, UiTM Cawangan Perak yang telah bermula sejak 7 Februari 2024. Kemuncak bagi program ini telah berlangsung pada 29 Jun 2024 yang diketuai oleh Prof Madya Sr Dr Yuhainis Talib bersama-sama Ahli Jawatankuasa Kumpulan 3 (Green Lifestyle & Recreational) dan dibantu secara interaktif dari pelajar Program Ukur Bahan. Peserta mula menghantar minyak masak terpakai di Astaka antara jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Tujuan program ini lebih kepada melatih masyarakat mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian, memupuk semangat cintakan alam sekitar dan menjana kewangan dari hasil penjualan bahan kitar semula. Turut disedari, pembuangan minyak masak ke dalam sinki secara berleluasa boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan menggalakkan pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan lipas. Ini secara tidak langsung menjadi tempat pembiakan haiwan perosak yang akan menjejaskan kesihatan penduduk. Kesedaran ini penting bagi menjayakan aspirasi negara bagi mencapai hasrat pelepasan sifar gas rumah kaca global serta menjaga kebersihan saliran dan sumber air negara.

Minyak masak terpakai sebenarnya boleh dikitar semula menjadi minyak biodiesel, sabun dan lilin. Minyak masak terpakai ini dibeli oleh sebuah Syarikat membeli minyak masak terpakai iaitu Lee Public Recycling. Syarikat ini akan melalui proses penapisan sebelum dijual ke luar negara bagi tujuan biodiesel sebagai bahan ganti api fosil yang lebih mesra alam. Program ini telah mendapat sambutan hangat di kalangan warga kampus dan masyarakat sekitar UiTM Perak, termasuklah sehingga warga Kampar, Gelung Pepuyu, dan tidak ketinggalan para peniaga kafe dari sekitar Seri Iskandar dan universiti berdekatan. Program ini telah berjaya mengumpul sebanyak 767 kg, dengan nilai RM2,301.00. Sebahagian daripada hasil jualan (RM0.50 kg) telah diinfakkan kepada Pusat Zakat UiTM Seri Iskandar.

Inisiatif ini tidak hanya membantu mengurangkan sisa pepejal di kalangan komuniti, tetapi juga memberikan pengajaran penting bahawa minyak masak juga boleh dikitar semula selain daripada sisa pepejal. Melalui program ini, diharapkan komuniti lebih peka terhadap isu alam sekitar dan menerapkan gaya hidup Lestari dalam kehidupan harian mereka. Inisiatif ini juga mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 11 – Bandar dan Komuniti Lestari; SDG 15 Hidupan di Darat dan SDG 17 Perkongsian Matlamat. Akhir sekali semoga program ini dapat menyeru masyarakat untuk membudayakan amalan kitar semula dan menjaga kebersihan persekitaran bagi menjamin kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar.

#Kitarsemulaminyakterpakai #UiTMPerak #Team3 #GreenKampus