16 November 2019 – Nutrition and Dietetics Student Association (NADA) telah menganjurkan hari terbuka bagi program Kids Early Education on Nutrition (KEEN) 2.0 pada 16 November 2019 yang bertempat di Foyer FSK 6 dan DK2, FSK 7, UiTM Puncak Alam. Program ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak seawal umur 4 tahun tentang cara pemakanan dan gaya hidup sihat di samping memberi peluang kepada pelajar dari Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik untuk mendedahkan pendidikan awal nutrisi kepada ibu bapa dan kanak-kanak.
Para pelajar Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik boleh menyampaikan ilmu nutrisi dan para peserta pula boleh mempelajari di samping menjalani aktiviti yang menarik. Program ini melibatkan 33 kanak-kanak pra-sekolah dari Tadika Awal Intelek Islamic Montessori, Puncak Alam. Program ini juga menjadikan pihak pengurusan tadika dan ibu bapa kepada kanak-kanak pra-sekolah sebagai sasaran sampingan.
Seperti yang sedia maklum, pengambilan makanan kanak-kanak bergantung separa penuh kepada pengambilan makanan orang di sekeliling mereka. Melalui program ini, yang juga menjadikan orang-orang di sekeliling kanak-kanak sebagai sasaran objektif, cara pemakanan sihat dan bagaimana pemakanan mempengaruhi kualiti kehidupan mereka dapat disampaikan. Teknik penyampaian yang digunakan adalah bersesuaian dengan kanak-kanak di mana aktiviti seperti mewarna, melukis, permainan, susun suai gambar dan tarian diterapkan di dalam setiap pengajaran.
Antara intipati-intipati program yang dijalankan sepanjang hari terbuka adalah sesi senamrobik dan sukaneka bersama kanak-kanak pra-sekolah. Sesi senamrobik bertujuan untuk menyiap sediakan kanak-kanak tersebut bagi aktiviti sukaneka. Sesi sukaneka pula diadukkan dengan bahan pengajaran nutrisi dan pemakanan yang telah dipelajari oleh kanak-kanak tersebut. Dengan cara ini, memori dan keberkesanan pengajaran kepada kanak-kanak tersebut dapat dinilai.
Seterusnya, demonstrasi masakan juga disediakan bagi para ibu bapa yang menghadirkan diri bagi hari terbuka ini. Di dalam demonstrasi masakan ini, satu resipi sihat menggunakan sayur-sayuran sebagai bahan utama ditunjukkan kepada para ibu bapa. Melalui resipi ini, ibu bapa boleh mendidik anak mereka untuk berjinak-jinak dengan pengambilan sayur-sayuran kerana kanak-kanak sangat sinonim dengan kurangnya pengambilan sayuran.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga dibawa untuk melawat pameran yang disediakan oleh setiap persatuan dalaman FSK. Kanak-kanak tersebut bukan sahaja didedahkan dengan perihal pemakanan sihat, tetapi juga didedahkan dengan perihal kesihatan mata, kesihatan minda, aktiviti kemahiran motor kasar iaitu pergerakan yang melibatkan seluruh anggota badan, cara menjaga kebersihan tangan, pengetahuan tentang aedes dan juga adab makan.
Pelajar daripada persatuan lain seperti Persatuan Pelajar Optometri, Fisioterapi, Pemulihan Carakerja, Pengimejan Perubatan, Teknologi Makmal Perubatan, Keselamatan dan Kesihatan Persekitaran dan juga Kejururawatan telah menyertai pameran ini dengan tujuan untuk mendedahkan aspek kesihatan secara menyeluruh kepada kanak-kanak tadika, pihak pengurusan tadika dan juga ibu bapa. Dengan adanya pameran seperti ini, kanak-kanak tersebut dapat mempelajari aspek kesihatan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu aspek.
Ceramah kesihatan yang dikhususkan untuk ibu bapa juga merupakan fokus utama program ini. Di dalam ceramah tersebut, ibu bapa diterangkan tentang langkah-langkah yang boleh mereka ambil untuk memaksimakan pengambilan nutrisi anak-anak mereka. Melalui ceramah ini, ibu bapa dapat mengetahui apa yang perlu mereka praktikkan di rumah bersama anak-anak mereka supaya cara pemakanan dan gaya hidup sihat menjadi sebahagian daripada rutin harian sekeluarga.
Kemudian, majlis diteruskan pula dengan upacara penutup yang dihadiri oleh Profesor Dr. Zulkhairi Hj Amom, dekan Fakulti Sains Kesihatan, Puan Zuraizah Mohd Zin, pengetua Tadika Awal Intelek Islamic Montessori, Puan Naleena Devi Muniandy, penasihat program, Puan Farhanah binti Ahmad Shuhaimi, penasihat persatuan pelajar pemakanan dan dietetik, saudara Muhammad Syamil bin Ismail, wakil Majlis Perwakilan Pelajar, saudari Nurul Amira Zulaiqa binti Mohd Zuhapri, presiden persatuan pelajar pemakanan dan dietetik, para ibu bapa dan juga para pelajar Tadika Awal Intelek Islamic Montessori. Upacara penutup memuatkan beberapa ucapan alu-aluan, ucapan perasmian, gimik perasmian, tayangan montaj, persembahan oleh pelajar Tadika Awal Intelek Islamic Montessori, penyampaian hadiah dan sesi fotografi.
Menurut pengarah program, saudari Iffah Nadhirah binti Zubir dari Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik (NADA), beliau berharap program ini dapat memanfaatkan para pelajar Tadika Awal Intelek Islamic Montessori dan juga ibu bapa mereka dari segi pendidikan pengambilan makanan sihat dan gaya hidup sihat.
Oleh : Laila Hawariy Abd Aziz, Setiausaha, Kids Early Education on Nutrition (KEEN) 2.0 2019