Program Khidmat Masyarakat Sinar Kasih 1.0

25 Mei 2024 – Program khidmat masyarakat telah dianjurkan oleh Jabatan Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang bersama rakan strategik Pusat Rawatan Otot, Sendi, Saraf dan Tulang Belakang (PRO1JAB). Program dilaksanakan di premis Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam di Kuala Ketil, Kedah. Pertubuhan ini berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPM-002002-05062016 dan dikawal-selia oleh pentadbir @ pengurus, pembantu pengurus serta 3 kakitangan sukarela yang lain.

Program Sinar Kasih 1.0 ini merupakan salah satu program kolaborasi bertujuan mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin serta menyemai budaya tolong-menolong di kalangan warga UiTM. Di samping aktiviti perkongsian ilmu berkaitan STEM, program ini juga berobjektifkan pengumpulan sumbangan dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan daripada warga UiTM untuk disumbangkan kepada pihak komuniti setempat di Kuala Ketil.

Peserta program ini terdiri daripada Penghuni Rumah Jagaan Bakti di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil yang berjumlah seramai 16 orang, terdiri daripada anak-anak miskin-yatim-piatu berusia antara 8 hingga 22 tahun. Di antara mereka terdapat anak-anak yang memiliki kad OKU (hyperaktif, down syndrom, autism, lembam) dan ada seorang daripada mereka merupakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (UniSHAM) yang sedang mengidap kanser tahap 4. Anak-anak di sini diceriakan dengan pelbagai aktiviti bersama dan diperkenalkan dengan STEM melalui permainan yang sangat menarik seperti Kungfu Panda, Tangan Kananku, Bantal Misteri dan Kreatif-Bina. Keceriaan dan kegembiraan pelajar jelas kelihatan dalam setiap aktiviti, tambahan lagi tatkala menerima hadiah masing-masing. Program diakhiri dengan penyerahan sumbangan berbentuk wang tunai, buku-buku dan pakaian turut diserahkan kepada anak-anak, dan Pengurus Rumah Jagaan Bakti, iaitu Encik Mohamad Rosli bin Yahaya.

Seramai lebih 20 orang staf UiTM telah melibatkan diri bagi menjayakan program ini dan diharapkan program sebegini dapat merapatkan jalinan hubungan antara UiTM dan pihak masyarakat, terutama dari kalangan asnaf serta dapat menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan kepada warga UiTM. Semoga program Sinar Kasih 1.0 dapat meningkatkan ketampakan UiTM di mata masyarakat sebagai sebuah universiti yang prihatin dan mempunyai warga yang berjiwa murni.