RAUB, 29 Ogos 2024 – Program Khidmat Masyarakat “Selangkah ke Menara Gading” telah berlangsung pada 28 dan 29 Ogos 2024. Program ini adalah anjuran Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) dengan kerjasama Unit Kerjaya dan Kaunseling (UKK) Universiti Teknologi MARA
Cawangan Pahang (UiTMCPh) Kampus Raub dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA). Program ini dijalankan selama dua hari dan program ini disertai oleh 141 orang pelajar Tingkatan 4, melibatkan taklimat Matematik dan latihan dalam kumpulan yang diadakan di
sekitar kawasan UiTM. Program ini dapat dijayakan dengan kerjasama wakil guru dan wakil PIBG SEMESTA sebagai jawatankuasa pelaksana dan turut membantu seramai lima pelajar UiTMCPh Kampus Raub telah terlibat sebagai fasilitator. Bertemakan “Selangkah Membina Generasi Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”,
program ini berobjektif memperkenalkan UiTMCPh Kampus Raub kepada pelajar sekolah SEMESTA terutamanya yang berada di luar bandar seterusnya memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar SEMESTA mengenai kehidupan di universiti. Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif bagi memupuk keyakinan diri, semangat jati diri dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam kalangan para pelajar. Mereka juga diperkenalkan bidang pengajian yang ditawarkan di UiTM khususnya program yang ditawarkan oleh KPPIM.
Hari pertama, program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Encik Mohmed Azuan bin Abdul Wahab, selaku wakil PIBG SEMESTA dan ucapan alu-aluan daripada Ketua Pusat Pengajian KPPIM, Dr. Juhaida binti Ismail. “Pihak UiTMCPh Kampus Raub khususnya KPPIM selaku kolej pengajian angkat bagi SEMESTA mengambil
tanggungjawab ini memberi pendedahan dan ruang untuk para pelajar SEMESTA merasakan pengalaman berada di menara gading”, katanya. Pengisian program yang pertama merupakan sesi Terapi Minda 1: Ice Breaking, memberi peluang kepada pelajar berkenalan dengan fasilitator. Seterusnya, suatu ceramah motivasi “Oh My Maths! No More Nightmares” telah disampaikan oleh Puan Nazihah binti Ismail, Pensyarah Kanan Kursus Matematik daripada UiTMCPh Kampus Jengka. Beliau telah berkongsi pengalaman dan kisah yang diharapkan dapat membuka mata tentang kepentingan matematik, membuang persepsi buruk terhadap subjek matematik serta menyuntik semangat pelajar untuk lebih maju pada masa hadapan.
Penceramah, Puan Nazihah menyampaikan ceramah kepada pelajar SEMESTA. Pada sebelah petang, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 1: Program Pewaris dan LDK 2: Sesi Pembentangan Kumpulan yang dilaksanakan oleh wakil PIBG SEMESTA. Pelajar diberikan peralatan untuk membina jambatan yang kuat yang mampu menampung beban. Suasana riuh apabila kekuatan jambatan diuji dengan meletakkan beban air mineral sehingga patah. Pemenang dipilih berdasarkan jambatan yang dapat bertahan dengan berat yang paling banyak. Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan acara Sukaneka bersama fasilitator. Pada malam hari, LDK 3: Persembahan Talent Time merupakan aktiviti yang ditunggu-tunggu, pelajar telah menonjolkan bakat masing-masing dengan mempersembahkan pelbagai persembahan seperti tarian, drama sketsa, choral speaking, dan koir.
Hari kedua dimulakan dengan Senamrobik dan LDK 4: Team Building bersama fasilitator. Kemudian, pelajar turut dibawa melawat dan melihat fasiliti yang disediakan di sekitar kampus Raub. KPPIM turut mengambil peluang pada hari yang sama untuk memberi pendedahan dengan program diploma yang ditawarkan oleh
KPPIM di UiTMCPh Kampus Raub. Taklimat program Diploma Sains Komputer telah disampaikan oleh Puan Rozeleenda binti Haji Abdul Rahman, Koordinator Pra Siswazah KPPIM. Manakala taklimat program Diploma Statistik pula disampaikan oleh Dr. Wan Zakiyatussariroh Wan Husin, Pensyarah Kanan Kursus Statistik. Sesi
tengah hari berakhir dengan Terapi Minda 2: Hati ke Hati bersama fasilitator. Program diakhiri dengan majlis perasmian penutup yang telah disempurnakan oleh Dr. Mohamad Sahizam Musa, Penyelaras Unit Penyelidikan & Jaringan Industri (PJI) UiTMCPh Kampus Raub mewakili Penolong Rektor. Hadir sama ke majlis penutup tersebut, Penolong Kanan (Pentadbiran) SEMESTA, Encik Sumardi bin Hassan; wakil PIBG, Puan Siti Aishah Binti Mohd Ali. Dalam ucapan perasmian penutup, Dr. Mohamad Sahizam menzahirkan
penghargaan dan tahniah kepada KPPIM, UKK dan warga SEMESTA kerana berjaya melaksanakan program ini yang dapat memberikan manfaat kepada pelajar SEMESTA, khasnya. Usaha ini diharapkan dapat menjadikan UiTMCPh untuk lebih dekat dengan masyarakat komuniti seiring dengan tema aspirasi UiTM, “Globally Renowned, Locally Rooted”.
Dalam majlis yang sama, Puan Siti Aishah yang merupakan AJK Akademik, PIBG SEMESTA mengambil kesempatan menitipkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak KPPIM dan UKK UiTMCPh Kampus Raub atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program pada kali ini. Beliau juga mengharapkan program ini akan dijadikan aktiviti tahunan sekolah kerana beliau mendapati banyak impak positif dan dalam masa yang sama mampu melahirkan pelajar yang sentiasa berdaya saing. Akhir sekali, acara penyampaian hadiah kepada pelajar terbaik mengikut subjek dan juga kumpulan terbaik bagi aktiviti LDK telah disampaikan oleh Encik Sumardi bin Hassan, Penolong Kanan (Pentadbiran) mewakili Pengetua SEMESTA.