Program Khidmat Masyarakat Matemadesa 2024: Mekarmatik

17-18 Ogos 2024: Matematik atau dahulunya dikenali sebagai Ilmu Hisab merupakan salah satu subjek yang  diajar sejak di peringkat tadika atau prasekolah lagi. Subjek Matematik sentiasa bergelumang dengan operasi asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Subjek Matematik menjadi semakin kompleks sesuai dengan pertambahan aras daripada Darjah 1 sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Seperti yang kita semua maklum, perkara yang melibatkan pengiraan sentiasa dikaitkan dengan aktiviti yang berlaku pada otak kiri seorang manusia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik memerlukan faktor kreatif yang memerlukan input daripada pengajar dan pelajar itu sendiri. Bukan mahu menyalahkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada, malah kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sentiasa memperkenalkan dan memperbaiki sistem sedia ada kepada standard global yang dapat memastikan pelajar di Malaysia terus kekal relevan dan berdaya saing.

Sehubungan dengan itu, satu Program Khidmat Masyarakat Matemadesa 2024: Mekarmatik telah dijalankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang (UCPh) Kampus Jengka dengan penyertaan dari 18 buah sekolah menengah seluruh Daerah Maran yang melibatkan keseluruhan 108 pelajar bersama 18 guru pengiring. Program ini merupakan anjuran Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UCPh dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran.

Objektif program ini antaranya ialah membentuk minat peserta program dalam mempelajari subjek Matematik melalui aktiviti berbentuk perbincangan seperti forum santai di mana para panel yang dipilih adalah dalam kalangan ahli matematik yang pakar dalam memberi tunjuk ajar tentang cara yang berkesan dalam mempelajari subjek Matematik. Pada sesi ini, pelajar diberi peluang dan ruang untuk bertanya soalan ketika sesi berlangsung. Memberi pendedahan mengenai medium kreatif dalam pembelajaran subjek Matematik dengan memaksimumkan penggunan teknologi terkini. Dengan demikian, pendekatan yang terbaik dan terkini harus diterapkan dalam pembelajaran mereka. Objektif ini juga akan meransang tahap kreativiti guru-guru yang terlibat dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran matematik dan seterusnya ia mampu meningkatkan produktiviti profesion perguruan. Selain itu, program ini juga menghasilkan satu modul program yang menyediakan panduan program untuk diguna pakai pada masa akan datang.

Majlis penutup program dua hari ini telah disempurnakan dengan kehadiran Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abd. Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan & Jaringan Industri (PJI), Menjalankan Fungsi Rektor UCPh, Prof. Madya Dr. Nazirah Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UCPh, En. Mohamed Bakri bin Abdul Malek, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, PPD Maran, Dr. Zulkhibri Ismail, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, UMPSA dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Kasim mewakili PERSAMA. Program ini ditutup dengan nyanyian lagu kemerdekaan sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 2024 nanti.

#MalaysiaMadani

#uitm

#uitmcawanganpahang

#uitmdihatiku

Penulis: Dr. Noor Amalina Nisa Ariffin, Dr. Juhaida Ismail, Pn. Nazihah Ismail, Pn. Rozeleenda Abd. Rahman