Puncak Alam, 14 Januari 2025 – Majlis Perwakilan Komander Kesatria dengan kerjasama Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah berjaya menganjurkan Program Kesatria Youth Challenge (KYC) 7.0/2025. Program selama 2 hari pada 11-12 Januari 2025 ini melibatkan Pertandingan Kawad Kaki, Rentas Halangan dan e-Sukan Mobile Legend dengan penyertaan seramai 450 orang pelajar dan 20 orang Jurulatih Kokurikulum.
Perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, diiringi oleh Profesor Madya Dr Norazmir Md Nor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar. Selain dapat menerapkan sikap toleransi dan kebersamaan, program ini juga bertujuan melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, mempunyai tahap disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat, malah ia juga menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan antara pelajar dan jurulatih. Penganjuran program ini diharapkan dapat terus menginspirasikan mahasiswa UiTM untuk terus aktif dalam aktiviti kokurikulum serta memperkukuh semangat kesukanan, seterusnya meningkatkan prestasi mereka dalam pelbagai bidang akademik dan kokurikulum.