Puncak Alam, 5 Julai 2024 – Program Kuliah Maghrib Khas & Doa Munajat Peperiksaan Akhir bagi Semester Mac-Ogos 2024 telah berjaya dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Harmoni, Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta Persatuan-persatuan Dalaman UiTM Cawangan Selangor (UCS) di Surau Ibnu Sina, Kampus Puncak Alam.
Program berkala ini dianjurkan bagi persediaan kerohanian mahasiswa mahasiswi UCS dalam menghadapi peperiksaan akhir. Aktiviti yang dijalankan sepanjang program termasuklah bacaan Yaasin, solat hajat berjemaah dan ceramah sempena menyambut Maal Hijrah.
Program turut disambung dengan Malam Tarbiyah Hati iaitu aktiviti qiyamulail yang juga dianjur dengan kerjasama Persatuan Rakan Masjid, dan disertai seramai hampir 100 orang pelajar. Program ini adalah salah satu bentuk usaha dalam memohon rahmat dan ehsan Allah SWT agar mahasiswa UCS dikurniakan kefahaman dan kemudahan dalam menuntut ilmu, diberi kesihatan yang baik dan diterangkan hati dalam menghadapi peperiksaan akhir.
Hadir merasmikan program adalah YBrs. Prof. Madya Ts. Dr Sabaianah Bachok, Pengerusi Gabungan Pengetua UCS, mewakili Rektor UCS. Pengurusan UCS mendoakan kejayaan dan kesejahteraan, serta mengharapkan mahasiswa mahasiswi memperoleh kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Semoga dengan penganjuran program ini serta segala usaha diterima oleh Allah SWT dan dikurniakan dengan sebaik-baik ganjaran oleh-Nya.