Program Kerjasama Bersama YB Datuk Borhan Aman Shah

SHAH ALAM, 6 Januari 2025 – Sesi pertemuan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) bersama Yang Berhormat Datuk Borhan Aman Shah yang merupakan EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor diadakan pada hari ini di Pejabat EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bagi membincangkan perancangan dan pelaksanaan program serta aktiviti pendidikan dan penyelidikan berkaitan kelestarian Alam Warisan dan Budaya Melayu di Selangor. Delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) diketuai oleh Profesor Dr. Amer Shakir bin Zainol (Penolong Naib Canselor Pemerkasaan Adiwangsa) dan Dr. Khairudin Murad (Pengarah IMPAK) serta para pegawai iaitu Dr. Nadia Widyawati Madzhi (Ketua Unit Penyelidikan dan Pengurusan Maklumat), Puan Umaimah Kamarulzaman (Ketua Unit Pengembangan Ilmu), En. Rahman Naim Mat Ali dan En. Hussien Harnis.

Sesi perbincangan kali ini turut disertai oleh wakil daripada Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM, Puan Shahidatul Akhmam Rambeli, wakil daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Puan Syahnaz Khariul Anuar dan wakil Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) iaitu Puan Farhani Shamsudin. Pertemuan yang melibatkan pelbagai pihak ini adalah untuk memberi ruang kepada perkongsian idea dan inisiatif menerusi pelbagai program dan projek kolaborasi yang berpotensi untuk dilaksanakan, dengan bermatlamatkan memperkasa dan melestarikan Alam Warisan dan Budaya Melayu serta membentuk kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan modal insan.

YB Datuk Borhan juga mencadangkan agar UiTM turut mengambil peranan aktif dalam pelaksanaan dasar negeri untuk memperkenalkan dan memelihara seni dan warisan budaya Melayu, khususnya di daerah-daerah Selangor. Kunjungan ini dijangkakan dapat membina sinergi bersama dalam usaha memperkukuhkan pemeliharaan serta pembangunan warisan dan budaya Melayu yang merupakan satu ruang yang besar untuk diterokai bersama.

 

Penulis: Puan Umaimah Kamarulzaman, Dr. Khairudin Murad Dan Dr. Nadia Widyawati Madzhi