Bandar Jengka, 8 September 2024 – Program Kem Anak Soleh 2024 (KAS 2024) telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Al-Biruni 1, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Program yang berlangsung dari 6 hingga 8 September 2024 ini dianjurkan oleh Pejabat Jaringan Industri Komuniti dan Alumni (PJI) UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Daerah Jerantut.
Seramai 192 pelajar dari 15 sekolah SAR KAFA Daerah Jerantut telah mengambil bahagian, disertai oleh 35 guru pengiring yang hadir bagi memeriahkan program ini. Harapan besar diletakkan agar anak-anak ini menjadi insan yang cemerlang serta anak yang soleh dan solehah dalam kehidupan seharian mereka.
Objektif kem ini adalah untuk melahirkan murid yang memiliki kesedaran dan kefahaman asas agama sejak dari usia muda, serta memahami peranan dan tanggungjawab sebagai anak soleh/solehah. Membangunkan murid yang mempunyai sahsiah terpuji, bukan hanya di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian. Ini bertujuan membentuk disiplin diri dan keperibadian jati diri yang kukuh. Membina akhlak yang mulia dan menjana kecemerlangan diri di kalangan para peserta.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program, antaranya ialah muhasabah diri, santapan Rohani, motivasi diri, jom belajar pokok, jungle trekking dan “young engineers”. Selain itu, peserta juga mengambil bahagian dalam aktiviti Ice Breaking, riadah, dan qiamullail, yang membantu membina semangat kerjasama dan ketahanan diri.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor PJI yang Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Pahang, bersama Dr. Nurrohana Ahmad, Koordinator ICAN, dan En. Mohd Faizal Azrul Azwan Mohamad@Che Harun, Pengarah Program Kem Anak Soleh 2024.
Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) termasuk SDG 3 (memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur), SDG 4 (memastikan pendidikan berkualiti, menyeluruh dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua) dan SDG 11 (menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan). Pejabat Jaringan Industri Komuniti dan Alumni (PJI) UiTM Cawangan Pahang akan terus menyokong keperluan universiti dalam usaha meningkatkan ranking UiTM di peringkat global dan menaikkan nama UiTM di mata dunia.
Penulis bersama: Norihan Hj Yahya, Mohd Faizal Azrul Azwan Bin Mohamad@Che Harun dan Asyura Abd Nassir