Program Kelas Kompang 2023

KELAS KOMPANG 2023

Anjuran Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2022/2023

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 5 dan 12 Mei 2023: Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menjalankan sebuah program dengan kerjasama Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA), Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Persatuan Pelajar Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (EHSAN), Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja (OTSA) dan Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS) iaitu Program Kelas Kompang 2023 yang dijalankan secara bersemuka dalam dua sesi pada tarikh yang berbeza iaitu 5 dan 12 Mei 2023.
Program ini bermula pada pukul 4.30 petang dan berakhir pada pukul 7.00 malam. Program ini telah disertai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP) Fakulti Sains Kesihatan, Penasihat 2 Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan, 2 orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2022/2023, barisan Majlis Tertinggi Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2022/2023 dan jurulatih jemputan, En Hasrol Bin Abd Hadi. Sebanyak 22 ahli jawatankuasa yang terdiri dari pebagai persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan dan Persatuan Sekretariat Mahasiswa, Fakulti Sains Kesihatan telah dipilih untuk menjayakan program ini dibawah pantauan pengarah, Saudara Muhammad Azizam Ayman Bin Abd Aziz. Seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan telah mendaftarkan diri sebagai peserta bagi program Kelas Kompang 2023 yang mana dijalankan untuk mencungkil bakat kemahiran bermain alat muzik tradisional Melayu dan mewujudkan komuniti yang aktif dalam menghargai seni kebudayaan. Malah, program ini juga bertujuan untuk menghebahkan kewujudan Kelab Kompang Fakulti Sains Kesihatan yang sedang giat mencari ahli baharu melalui program ini.

Program ini dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta di Dewan Serbaguna Rafflesia, diikuti dengan kedatangan jurulatih kompang unit kokurikulum UiTM Shah Alam/Puncak Alam, En Hasrol Bin Abd Hadi sebagai jurulatih jemputan sambil diiringi pengarah program ke dalam dewan. Program diteruskan lagi dengan sesi nyanyian Lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM dimainkan. Slot pembelajaran En Hasrol bermula dengan sesi perkenalan bersama para peserta. Serba-sebi perjalanan kariernya dikongsikan dan beliau turut menceritakan trivia berkenaan alat muzik tradisional yang akan diajar kepada para hadirin iaitu kompang.

En Hasrol kemudiannya menunjukkan demonstrasi mengendalikan dan cara memukul kompang di hadapan para hadirin. Para peserta kemudian diminta untuk mengikuti dan bersama En Hasrol, mereka melakukan beberapa set latihan memukul kompang untuk membina keserasian dan membiasakan diri dengan tempo irama kompang dalam kumpulan yang besar.

Selain dari pengendalian dan latihan memukul kompang, En Hasrol juga mengajarkan variasi irama kompang iaitu Joget, Zapin, Inang dan Dangdut. Para peserta diajarkan perbezaan nada dan rentak bagi setiap irama kompang tersebut. Seterusnya, En Hasrol merancakkan lagi sesi pembelajaran dengan mengajar para peserta untuk mengendalikan kompang sambil melakukan set tarian yang mudah. Set tarian ini disusuli dengan sesi terakhir bagi slot pembelajaran En Hasrol iaitu menyanyikan beberapa lirik lagu sambil diiringi paluan kompang.

Pengisian bagi sesi kedua program Kelas Kompang 2023 pada 12 Mei 2023 berlangsung sama seperti sesi pertama pada 5 Mei 2023. Sepanjang program, kemahiran peserta dapat dilihat meningkat disamping mereka berjaya memainkan set irama kompang bersama En Hasrol dengan lebih lancar berbanding sesi pertama. Hal ini menunjukkan keberkesanan tunjuk ajar En Hasrol dan bakat terpendam para mahasiswa-mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan. Namun, sesi kedua ini ditamatkan dengan gimik persembahan En Hasrol bersama dua rakan pasukan kompangnya di mana mereka memainkan 4 set irama kompang bersama nyanyian. Jelas sekali, kemahiran mereka bitara dan mengagumkan para peserta. Tepukan yang gemuruh diberikan tamat persembahan dan sesi fotografi dilakukan.

Dengan berlangsungnya program ini, para peserta dapat didedahkan dengan kemahiran baharu bermain alat muzik tradisional Melayu sekaligus mengenali bakat diri dan menambah ilmu. Hubungan silaturrahim dan ukhuwah antara persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan juga dapat diutuhkan hasil kerjasama menjayakan program Kelas Kompang 2023 ini. Objektif program yang dirangka berjaya dicapai di mana ianya memenuhi keperluan program dari segi kejayaannya. Program ini boleh dikatakan sebagai titik mula bagi membentuk komuniti yang aktif dalam menghargai seni kebudayaan di kampus UiTM Puncak Alam ini. Secara keseluruhannya, diharapkan agar program seperti ini dapat diusulkan lagi pada masa akan datang agar para mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Sains Kesihatan dapat meneruskan kegiatan bermain alat muzik tradisional dan ianya tidak berakhir di sini sahaja.

Disediakan oleh,
MUHAMMAD AZIZAM AYMAN B ABD AZIZ
EXCO SUKAN DAN KEBUDAYAAN
SEKRETARIAT MAHASISWA FAKULTI
FAKULTI SAINS KESIHATAN
SESI 2022/2023