Program Kaunter E-Filing UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka

Pada 6 Mac 2024, telah berlangsung satu program Kaunter Pengisian Borang Cukai Pendapatan Individu (e-Filing) bagi tahun taksiran 2023 anjuran Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang (UCPh) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Pahang. Program tersebut telah diadakan di lobi bangunan pentadbiran UiTM Cawangan Pahang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang.

Program ini merupakan sebuah program berbentuk khidmat masyarakat inisiatif dari Fakulti Perakaunan UCPh dengan objektif utama untuk membantu memberikan perundingan dan khidmat nasihat kepada warga UiTM dan juga komuniti luar yang memerlukan bantuan dalam pengisian borang cukai pendapatan individu bagi tahun taksiran 2023. Penganjuran program ini adalah bersifat berterusan memandangkan pembayar cukai perlu membayar cukai pada setiap tahun.

Semasa program berlangsung, seramai 6 orang pensyarah Fakulti Perakaunan, UiTM Kampus Jengka dengan bidang kepakaran percukaian (taxation) telah menyumbang kepakaran sebagai fasilitator untuk membantu memberikan khidmat nasihat serta bimbingan berkenaan pengisian Borang e-BE di dalam sistem LHDNM iaitu MyTax. Selain itu, seramai 4 orang pegawai LHDNM Pahang turut hadir menjayakan program tersebut. 2 orang daripada staf LHDNM yang hadir adalah merupakan alumni UCPh dari Fakulti Perakaunan iaitu En Muhamad Assif bin Abdullah, manakala En Mohd Asri bin Kalib merupakan alumni UCPh dari Fakulti Perniagaan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti bantuan membuka fail cukai pendapatan bagi mereka yang pertama kali membuka akaun e-filing, menukar kata laluan bagi mereka yang telah lupa kata laluan asal dan konsultansi cara pengisian borang e-filing. Secara tidak langsung, penganjuran program seumpama ini telah mewujudkan hubungan kolaborasi antara UiTM dan LHDNM.

Seramai 81 orang telah hadir ke program tersebut dan bukan sahaja dihadiri oleh staf UCPh malahan komuniti luar turut hadir. Antara komuniti luar yang hadir adalah penduduk FELDA Wilayah Jengka dan juga komuniti yang bekerja di sekitar Bandar Jengka. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dan berjaya mencapai objektif utama penganjuran. Program e-filing ini juga secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan hasil kutipan cukai negara untuk membantu negara menjana pendapatan bagi mengembangkan ekonomi Malaysia.

Melalui program ini, FPN telah memenuhi PI 75 – Number of University Social Responsibility programmes (USR), PI 78 – Total amount spent (from own funds) for USR and KTP programmes, dan PI 80 – Number of alumni expert service programme. Program ini juga turut memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk bidang Pendidikan Berkualiti bagi Sustainable Development Goal SDG4.

Jawatankuasa pelaksana program ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada LHDNM Pahang serta para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.