MACHANG, 17 Januari – Program Karnival Kerjaya Myfuturejobs Graduan X UiTM Cawangan Kelantan 2024 yang dianjurkan hasil kerjasama Unit Kerjaya & Kaunseling (UKK) UiTM Cawangan Kelantan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kelantan. Penganjuran bersama antara universiti, mahasiswa dan para majikan ini merupakan satu alternatif terbaik dalam menyampaikan informasi kerjaya dan peluang-peluang kerjaya kepada masyarakat umum, para pencari kerja, graduan dan bakal-bakal graduan yang telah tamat pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa dalam mendapatkan pekerjaan dan berkongsi ilmu tentang kerjaya kepada bakal graduan dengan harapan ianya dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan. Selain mempunyai hard skills, mahasiswa sudah pastinya perlu mempunyai soft skills iaitu ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berkomunikasi, kemahiran kepimpinan (leadership) dalam memimpin bila mana berada di alam kerjaya, kemahiran penyelesaian masalah (problem solving) dan kerjasama iaitu teamwork dalam bekerja. Program sebegini amat besar manfaatnya kepada semua terutamanya kepada bakal-bakal graduan UiTM, pencari-pencari kerja dan komuniti setempat demi meningkatkan ekonomi rakyat Kelantan.
Penganjuran sebegini juga merupakan satu program CSR (Corporate Social Responsibility) yang bermatlamat untuk memberi manfaat kepada semua. Selain itu, program ini juga akan membuka mata masyarakat di luar sana bahawa badan-badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan seperti PERKESO sentiasa bekerja keras untuk memastikan ruang dan jawatan kosong dari majikan/ syarikat dapat terus dihebahkan dengan meluas dan pantas kepada graduan, masyarakat dan para pencari kerja. Seramai 12 syarikat telah menyertai dan hadir ke program ini serta menawarkan sebanyak 400 kekosongan jawatan yang boleh diisi.