Program Jerayawara Bakal Eratkan Kerjasama Antara UiTM Cawangan Sarawak Dengan Agensi Persekutuan Sarawak 2022

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah menganjurkan Program Jerayawara 2022 pada 25 Ogos 2022 (Khamis) bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2.

Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk mewujudkan serta mengeratkan jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Sarawak dengan agensi persekutuan Sarawak dan sekaligus mempromosikan produk-produk inovasi yang diusahakan oleh para pensyarah UiTM Cawangan Sarawak.

Program Jerayawara ini juga melibatkan sesi pembentangan inisiatif-inisiatif daripada pihak UiTM Cawangan Sarawak dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, jaringan industri, komuniti & alumni serta keusahawan pelajar. Selain itu, perkongsian maklumat bantuan geran atau dana penyelidikan daripada agensi persekutuan Sarawak turut diadakan.

Turut hadir sepanjang program ini berlangsung ialah Profesor Madya Dr. Abang Zainoren bin Abang Abdurahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri mewakili Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Encik Ladoh anak Mejus, Pengarah Arkib Negara Malaysia, Encik Hamdan Jar’ee, Pengarah JAKIM Sarawak, Encik Sudirman Suratin, Pengarah JPK Wilayah Sarawak, Encik Jona Anak Kerani, Pengarah MIDA Sarawak, Puan Shahriah Saharom, Pengarah LPPKN Sarawak, Encik Mohamad Rizal Mohamed Yunus, Pengarah FINAS Borneo, Encik Halim Bowen, Pengarah KWSP Sarawak, Encik Kasvenda Kassim, Pengarah SIRIM Sarawak, Encik Mohd Zaiful Anuar, Pengurus Besar Wilayah Felcra Sarawak serta pegawai kerajaan daripada pelbagai agensi persekutuan Sarawak.